
PENGORBANAN DAN JASA DIIKTIRAF: 491 VETERAN ANGKATAN TENTERA MALAYSIA (ATM) TERIMA PINGAT JASA MALAYSIA (PJM)
KUALA TERENGGANU, 29 APRIL 2025 - Timbalan Panglima Tentera Darat, Yang Berbahagia Leftenan Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi bin Tengku Ibrahim, telah menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 491 orang Veteran ATM, balu serta wakil waris di Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman dekat sini hari ini.
Majlis penganugerahan PJM telah dikoordinasikan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM yang telah bermula sejak 3 Mac 2004. Penganugerahan pingat ini merupakan pengiktirafan kepada anggota tentera di atas sifat keperwiraan, keberanian, pengorbanan dan kesetiaan mereka semasa berhadapan dengan ancaman pengganas komunis suatu ketika dahulu.
Kejayaan bekas anggota tentera membanteras ancaman komunis selain memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan seperti berikut, telah melayakkan mereka dianugerahkan dengan PJM. Diantaranya adalah;
a. Telah berkhidmat atau terlibat dalam operasi secara berterusan selama 3 bulan dan ke atas atau telah bertugas secara langsung tidak kurang dari 6 bulan di mana-mana pasukan atau formasi ATM bagi tempoh dari 1 Januari 1969 hingga 2 Disember 1989 bagi operasi menentang Parti Komunis Malaya (PKM) atau,
b. Telah berkhidmat atau terlibat dalam operasi secara berterusan selama 3 bulan dan ke atas atau telah bertugas secara tidak langsung tidak kurang dari 6 bulan di mana-mana pasukan atau formasi ATM bagi tempoh 1 Januari 1969 hingga 17 Oktober 1990 bagi operasi menentang Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) atau,
c. Telah terbunuh, cedera atau menjadi kurang upaya disebabkan oleh tugas menentang pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) bagi tempoh 1 Januari 1969 hingga 2 Disember 1989 atau pengganas Parti Komunis Kalimantan (PKKU) bagi tempoh 1 Januari 1969 hingga 17 Oktober 1990.
YBhg. Leftenan Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi bin Tengku Ibrahim menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua penerima PJM pada hari ini. Kementerian Pertahanan sentiasa prihatin dengan nasib dan hal ehwal Veteran ATM. Malah, aspek kesejahteraan Veteran ATM telah menjadi salah satu teras utama dalam pelan strategik kementerian ini.
Sehubungan itu, JHEV ATM yang diketuai oleh Ketua Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Yang Berbahagia Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki akan meneruskan skim-skim bantuan kebajikan, perubatan, pendidikan untuk anak-anak Veteran ATM dan inisiatif perumahan sedia ada serta menambah baik perkhidmatan dalam agenda memperkasakan kebajikan Veteran ATM disamping akan memberi keutamaan dalam usaha untuk mencari pendekatan terbaik dalam meningkatkan taraf kehidupan Veteran ATM khususnya dalam keadaan ekonomi yang agak mencabar kini.
Penganugerahan ini merupakan kurniaan atas sikap keperwiraan dan pengorbanan anggota tentera dalam melaksanakan kewajipan kepada negara. Sesuai dengan tarafnya sebagai "Campaign Medal" yang berlandaskan pengorbanan dan perjuangan yang tidak berbelah bahagi semasa darurat dahulu, PJM telah dimartabatkan sebagai pingat yang lebih kanan dalam susunannya berbanding dengan anugerah-anugerah yang sama kelas dengannya seperti Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-bangsa Bersatu (PNBB) dan Pingat Perkhidmatan Setia (PPS).
Pengurniaan PJM ini adalah refleksi terhadap suatu pengorbanan yang amat besar, yang diiktiraf oleh rakyat dan negara dalam menggalas tanggungjawab menjaga kedaulatan dan keselamatan negara dengan penuh taat setia. Justeru itu, masyarakat amnya haruslah menghargai jasa dan pengorbanan para pahlawan negara sehingga negara ini dapat mengecapi keamanan yang sama-sama kita nikmati pada saat ini. Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur iaitu JHEV ATM kerana telah berjaya menganjurkan Majlis Penganugerahan PJM pada hari ini, katanya dalam satu kenyataan.
Turut hadir dalam Majlis Penganugerahan ini ialah, Komander Rejimen 512 (AW), YAM Tengku Seri Temenggong Raja Brig Jen Dato' Seri Tengku Baharuddin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Timbalan Panglima Wilayah Laut 1, Laksma Abd. Halim bin Kamarudin, Pemangku Panglima 8 Briged, Kol Zaidi bin Hj Omar, Timbalan Komander Rejimen 512 (AW), Lt Kol Hizdir bin Abdul Zabil, Wakil Komander Pangkalan Gong Kedak, Lt Kol Norhisham bin Mohd Noor TUDM, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM, Lt Kol Azwadi bin Jamian (Bersara), Timbalan Ketua Pengarah JHEV ATM, Encik Sophian Isswandy bin Ismail serta wakil-wakil Persatuan Veteran ATM Negeri Terengganu.