Skip to main content

faq

Soalan Lazim

hubungi

Hubungi Kami

maklumbalas

Aduan

peta

Peta Laman

Berita

KUNJUNGAN HORMAT KARISMA HUMANITARIAN OUTREACH MISSION (KHOM) KE ATAS KETUA PENGARAH JHEV ATM

KUALA LUMPUR, 9 SEPTEMBER 2025 - Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Karisma Humanitarian Outreach Mission (KHOM) ke atas Ketua Pengarah JHEV ATM, baru-baru ini. Kunjungan tersebut bertujuan memperkukuh jalinan kerjasama strategik dalam aspek kebajikan, kemanusiaan dan kesejahteraan golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dalam pertemuan itu, Ketua Pengarah JHEV ATM telah menekankan komitmen jabatan untuk terus menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak, termasuk organisasi bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai aspirasi murni dalam membantu masyarakat, khususnya para veteran ATM serta ahli keluarga mereka. Beliau turut menyatakan bahawa sokongan dan penglibatan NGO seperti KHOM amat penting dalam memperluaskan jaringan kebajikan agar manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh.

Delegasi KHOM turut berkongsi tentang inisiatif kemanusiaan dan outreach yang dilaksanakan organisasi tersebut di dalam dan luar negara. Mereka menyatakan kesediaan untuk berganding bahu bersama JHEV ATM dalam merangka program kebajikan, khususnya yang memberi tumpuan kepada veteran ATM yang memerlukan perhatian dari sudut kebajikan sosial, kesihatan serta peningkatan taraf hidup.

Kunjungan hormat ini diakhiri dengan sesi pertukaran cenderahati sebagai tanda penghargaan, sekaligus membuka ruang kerjasama yang lebih erat pada masa hadapan. Pertemuan ini mencerminkan hasrat bersama dalam memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan dan NGO demi menjaga kebajikan Veteran ATM serta meluaskan impak program kemanusiaan kepada masyarakat.

MAJLIS PERASMIAN PUSAT DIALISIS YAYASAN VETERAN ATM CAWANGAN BIDOR

BIDOR, 4 SEPTEMBER 2025 - Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) merangkap Timbalan Pengerusi Yayasan Veteran ATM (YVATM) YBhg. Mejar Jeneral Dato' Haji Semaon bin Haji Marjuki, telah menyempurnakan majlis perasmian pembukaan Pusat Dialisis Yayasan Veteran ATM Cawangan Bidor, Perak dekat sini pada Khamis.

Program ini dianjurkan oleh Yayasan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (YVATM), menempatkan sebuah kemudahan kesihatan yang dibangunkan bagi memberikan rawatan dialisis berkualiti kepada komuniti setempat amnya sekaligus mencerminkan bahawa kolaborasi entiti ini bukan sahaja komited menjaga kebajikan Veteran ATM, tetapi turut memperluas manfaat ini kepada seluruh lapisan masyarakat.

Turut hadir ialah Yang Dihormati Toh Paduka Indera Dato' Haji Mat Rasid bin Ayob, Orang Besar Jajahan Batang Padang, Lt Kol Azwadi bin Jamian (Bersara), CEO Yayasan Veteran ATM, Encik Ahmad Redhauddin bin Ahmad Shokori, Pegawai Daerah Pejabat Daerah dan Tanah Batang Padang, Laksamana Madya Datuk Haji Nasaruddin bin Othman (Bersara), Presiden Persatuan Veteran PASKAL TLDM, serta Encik Khairul Anuar bin Ismail, Pengarah Ketua Perkhidmatan Pencarum mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

YBhg. Ketua Pengarah JHEV ATM, Dato’ Semaon Marjuki semasa ucapan beliau menyatakan bahawa Pusat Dialisis YVATM Cawangan Bidor merupakan sebahagian daripada rangkaian pusat dialisis yang dikendalikan oleh DVET Holding Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh YVATM. Sehingga kini, DVET telah menguruskan empat pusat dialisis di Selangor iaitu di Seri Kembangan, Batu Caves, Bukit Sentosa dan Batang Kali.

Dengan pembukaan cawangan baharu di Bidor, YVATM merancang untuk menambah empat lagi pusat dialisis pada tahun ini, masing-masing di Batu Kurau (Perak), Mersing (Johor), Muadzam Shah (Pahang) dan Jempol (Negeri Sembilan). Pada masa hadapan, YVATM berhasrat untuk memperluaskan perkhidmatan ini ke negeri-negeri lain agar manfaat rawatan dapat dinikmati secara menyeluruh, khususnya oleh para Veteran ATM yang telah banyak berkorban demi tanah air, ujarnya lagi.

Pusat Dialisis Bidor menampilkan kelebihan tersendiri termasuk peralatan moden, pematuhan piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia, jururawat berpengalaman serta suasana mesra pesakit. Keunikan YVATM adalah pendekatan inklusifnya, di mana kemudahan ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat, bukan hanya untuk Veteran ATM.

Majlis perasmian turut menyaksikan penyerahan sumbangan kepada YVATM oleh Affin Islamic Bank Berhad berjumlah RM50,000 oleh Encik Mohd. Faiz bin Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Affin mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Berhad dan Pharmaniaga Berhad berjumlah RM39,500 yang disampaikan oleh Encik Mohd Ridhwan Kalantar Mastan, Head of Plant InspiraPharma Sdn. Bhd. mewakili Pengarah Urusan Pharmaniaga Berhad. Sumbangan ini melambangkan komitmen berterusan sektor korporat dalam menyokong usaha kebajikan YVATM serta memperkukuh jaringan kerjasama strategik yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat, khususnya Veteran ATM.

YVATM turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Daerah Tapah, pihak berkuasa tempatan, organisasi serta masyarakat setempat atas sokongan yang diberikan sehingga terbinanya Pusat Dialisis Cawangan Bidor. Sesungguhnya, kejayaan ini tidak akan direalisasikan tanpa kerjasama erat semua pihak.

Program ini juga adalah sebahagian daripada beberapa inisiatif MINDEF terkait golongan Veteran ATM yang secara langsung menyokong inisiatif Pelan Strategik MINDEF 2021-2025: Teras 7 – Transformasi Kesejahteraan Veteran ATM. Usaha memperkasa veteran ATM juga akan diperkemaskan lagi melalui inisiatif-inisiatif yang telah digariskan di dalam Amanat Perutusan Tahun Baharu 2025 Menteri Pertahanan: Fokus 4 – Memperkukuh Ekosistem Kesejahteraan Warga Pertahanan.

PENGORBANAN DAN JASA DIIKTIRAF: 1,026 VETERAN ANGKATAN TENTERA MALAYSIA TERIMA PINGAT JASA MALAYSIA (PJM)

LUMUT, 3 SEPTEMBER 2025 - Seramai 1,026 Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah diraikan dalam Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) yang berlangsung dengan penuh istiadat di Auditorium M. Sidek Shabudin, KD Pelandok, Pangkalan TLDM Lumut, Perak.

Majlis ini disempurnakan oleh Laksamana Madya Dato’ Pahlawan Ts. Shamsuddin bin Hj. Ludin, Timbalan Panglima Tentera Laut, yang menyampaikan PJM sebagai tanda penghargaan negara terhadap jasa, pengorbanan, dan khidmat bakti veteran ATM dalam mempertahankan kedaulatan tanah air.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Mejar Jeneral Dato’ Hj. Semaon bin Hj. Marjuki, Ketua Pengarah JHEV ATM, Laksamana Pertama, Ts. Shaiful Bahri bin Baharuddin, Panglima Logistik Barat, Laksamana Pertama, Hj. Jamaludin bin Hj. Sairi, Komander Pangkalan Lumut, Kapten Salleh bin Sauli TLDM, Pemangku Panglima Selam dan Peperangan Periuk Api, Kolonel Nurul Amir bin Othman TUDM, Komandan Akademi Tentera Udara Ipoh, serta Mejar Jeneral Dato’ Haji Muhammad Mudzamir Ong bin Abdullah TUDM (Bersara) selaku Ahli Majlis Veteran Kebangsaan (MVK).

Penganugerahan PJM ini bukan sahaja mengiktiraf jasa perwira negara yang telah berjuang menentang ancaman keselamatan, malah ia menjadi simbol penghormatan tertinggi atas keberanian dan pengorbanan mereka demi memastikan Malaysia kekal aman, makmur, dan berdaulat.

Terima kasih wira-wira negara, jasa kalian sentiasa dikenang.

PROGRAM MADANI RAKYAT (PMR) 2025 NEGERI SEMBILAN: KEBAJIKAN VETERAN ATM TERUS DIBERI PERHATIAN

NILAI, 24 OGOS 2025 (AHAD) – Program Madani Rakyat 2025 Negeri Sembilan membuka tirai di Dataran Nilai bermula 22 hingga 24 Ogos 2025 dengan penglibatan oleh Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin pada 23 Ogos 2025. Turut hadir adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg. Datuk Lokman Hakim bin Ali, Timbalan Ketua Pengarah JHEV ATM, Encik Sophian Isswandy bin Ismail mewakili Ketua Pengarah JHEV ATM, serta Pengarah JHEV ATM Cawangan Melaka dan Negeri Sembilan, Mejar Muhammad Zarifi bin Haji Tumin. Setelah merasmikan Program PMR, YAB Perdana Menteri juga telah merasmikan kilang baharu MILDEF International Technologies Sdn. Bhd. di Sendayan iaitu sebuah syarikat tempatan pengeluar kenderaan pertahanan sebagai langkah memperkukuh keupayaan industri pertahanan negara. Program ini memberi perhatian khusus kepada kebajikan Veteran ATM dengan mengadakan perkhidmatan Kaunter Bergerak JHEV ATM yang menawarkan pelbagai kemudahan termasuk Permohonan Kad Veteran, Semakan Pencen, Bantuan Sara Hidup, Perubatan, Pendidikan, Bantuan Bencana Alam, Bantuan Peralatan Pesakit, Kemaskini Data di applikasi VIBES 2.0, Bantuan Rumah Bina Baharu dan Bantuan Baik Pulih Rumah Veteran ATM.
Program ini juga adalah sebahagian daripada beberapa inisiatif MINDEF terkait golongan Veteran ATM yang secara langsung menyokong inisiatif Pelan Strategik MINDEF 2021-2025: Teras 7 – Transformasi Kesejahteraan Veteran ATM. Kementerian Pertahanan komited memperkukuh Strategi Inisiatif 1 – Peningkatan Taraf Sosioekonomi melalui inisiatif Program Outreach Veteran ATM yang diperkemaskan lagi melalui inisiatif-inisiatif di dalam Amanat Perutusan Tahun Baharu 2025 Menteri Pertahanan: Fokus 4 – Memperkukuh Ekosistem Kesejahteraan Warga Pertahanan.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang melawat Pameran Senjata ATM dan mendapatkan maklumat mengenai Promosi Pengambilan Pelatih Sukarela Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Sesi 2026. Kehadiran kepimpinan tertinggi negara bersama Warga Pertahanan menjadikan Program Madani Rakyat 2025 sebagai platform untuk mengeratkan hubungan ATM dengan masyarakat, memperkukuh industri pertahanan negara serta menyemai semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda dan Veteran ATM.

LAWATAN CAKNA DAN PENYAMPAIAN BANTUAN KEPADA VETERAN ATM DI PULAU SEBATIK, TAWAU

TAWAU, 24 OGOS 2025 (AHAD) – Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) terus komited melaksanakan program kebajikan bagi memastikan kesejahteraan para veteran sentiasa terbela. Terbaru, satu program lawatan cakna telah diadakan di sekitar Pulau Sebatik, Tawau, melibatkan penyantunan dan penyampaian bantuan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Program ini turut disertai oleh Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly bin Zahari, bersama Ketua Pengarah JHEV ATM, YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki, pegawai kanan JHEV serta wakil persatuan veteran. Kehadiran mereka bukan sahaja memberi sokongan moral, malah membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam menunaikan tanggungjawab menjaga kebajikan veteran. Dalam lawatan tersebut, seramai tujuh orang veteran ATM telah diziarahi. Mereka terdiri daripada veteran berpencen dan tidak berpencen, dengan latar belakang perkhidmatan dalam pelbagai kor serta pasukan. Antara yang diziarahi ialah PW I Samsuri bin Jamali, 55 tahun, beliau kini menetap di Kampung Bergosong Besar dan sedang dalam proses memajukan permohonan baik pulih rumah. Turut menerima kunjungan ialah PW II Zulkefli bin Amat, 53 tahun, yang menamatkan 21 tahun. Beliau berpencen dengan pencen tetap, manakala seorang lagi veteran, PW II Zul bin Jaafar, 50 tahun, turut menerima perhatian dengan keadaan kehidupan yang stabil. Bagi kategori veteran tidak berpencen, LKpl Saliman bin Latip, 62 tahun, kini bekerja sebagai pekebun sawit dengan pendapatan sederhana. Beliau merupakan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) JHEV ATM. Nasib serupa dikongsi oleh Laskar Kelas I Sabri bin Ramli, 59 tahun, yang juga bekerja sebagai pekebun sawit dengan pendapatan terhad. Selain itu, LKpl Badrun bin Ahmad, 51 tahun, bekas anggota RAMD (TDM) yang berkhidmat selama 13 tahun, kini bekerja sebagai pegawai keselamatan dengan pendapatan bulanan RM1,700. Walaupun tidak berpencen, keadaan kehidupannya masih stabil. Sementara itu, Bintara Kanan Mohammad Zamani bin Abas @ Abdul Hamid, 51 tahun, berpencen dengan pendapatan tetap. Beliau kini dalam proses memajukan permohonan bantuan IPT bagi anaknya. Kesemua veteran yang terlibat turut menerima Bantuan Insentif Awal (Februari 2025) sebanyak RM250 seorang serta Bantuan Khas Aidilfitri (Mac 2025). Bantuan tambahan seperti baik pulih rumah dan Bantuan Sara Hidup turut diberikan kepada mereka yang layak. Lawatan ini jelas menunjukkan bahawa JHEV ATM sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan veteran, sama ada berpencen mahupun tidak berpencen. Program seumpama ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi bantuan kewangan, malah mengeratkan hubungan silaturahim antara kerajaan, jabatan dan veteran ATM di lapangan.

MAJLIS PERASMIAN PROGRAM PEMERKASAAN USAHAWAN VETERAN (PUVET) PERINGKAT NEGERI SABAH

TAWAU, 22 OGOS 2025 (JUMAAT) - Satu program Pemerkasaan Usahawan Veteran (PUVET) Peringkat Negeri Sabah telah diadakan di Hotel Borneo Royale, Tawau, Sabah. Majlis Perasmian program ini telah disempurnakan oleh YB Tuan Hj. Adly bin Zahari, Timbalan Menteri Pertahanan. Majlis ini turut dihadiri olh YBhg Mejar Jeneral Dato' Hj Semaon bin Hj Marjuki, Ketua Pengarah JHEV ATM. Program PUVET ini dianjurkan oleh Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) dan telah dihadiri oleh seramai 67 orang Veteran ATM. Penganjuran PUVET menjadi pemangkin kepada komitmen Kementerian Pertahanan dalam memperkukuh sosioekonomi Veteran ATM terutamanya melalui bidang keusahawanan. Dalam program ini, YB Timbalan MENHAN turut menyampaikan geran Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) bernilai RM54,000.00 kepada 9 usahawan Veteran ATM di sekitar Negeri Sabah. Sehingga kini 225 usahawan Veteran ATM telah menerima geran SPKLB dengan nilai keseluruhan berjumlah RM1,134,000.00. YB Timbalan MENHAN dalam ucapan beliau telah menyentuh tentang kepentingan untuk semua usahawan Veteran ATM supaya memiliki pengurusan kewangan yang teratur. Elemen inovasi menggunakan teknologi terkini terutamanya perniagaan melalui jualan dan pemasaran atas talian perlu dipelajari oleh Veteran ATM bagi memastikan kelestarian perniagaan mereka. Adalah diharapkan penganjuran PUVET ini dapat memberi manfaat kepada usahawan Veteran ATM dan membantu meningkatkan hasil jualan mereka melalui ilmu pengetahuan yang dipelajari.

MAJLIS KAYUHAN AMAL ITEKAD AGROBANK 2025: INISIATIF PRIHATIN MEMPERKASA USAHAWAN MIKRO

KANGAR, PERLIS - 16 OGOS 2025 – Agrobank meneruskan komitmennya dalam memperkasakan usahawan mikro dari golongan B40 dan Asnaf melalui penganjuran Majlis Kayuhan Amal iTEKAD Agrobank yang berlangsung di Dewan FGV Chuping, Kangar, Perlis. Majlis berprestij ini telah disempurnakan oleh DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis. Program ini turut diselaraskan bersama Kayuhan MAIPs Peduli Bil. 57/2025, yang menyaksikan keberangkatan DYTM Tuanku Raja Muda Perlis dan YAM Waris Yang Kedua Perlis menjejaki dan menyantuni Asnaf Kariah Batu Bertangkup bersama Agrobank. Inisiatif ini memperlihatkan komitmen berterusan pihak Istana dan institusi kewangan dalam memastikan golongan kurang berkemampuan tidak terpinggir. Penganjuran ini merupakan sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) Agrobank melalui program iTEKAD — satu inisiatif khas hasil kerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) yang bertujuan membantu golongan B40 dan Asnaf meningkatkan taraf hidup melalui sokongan pembiayaan, latihan keusahawanan dan penyediaan peralatan perniagaan. Dalam pada itu, majlis ini turut memperkenalkan pelaksanaan Program Ladang Kontrak Tanaman Nanas MD2, hasil kerjasama strategik bersama Aqina Fruits Sdn. Bhd. (AFSB), yang bakal memberi manfaat kepada 20 peserta terpilih termasuk golongan Veteran Angkatan Tentera. Setiap peserta akan mengusahakan tanah seluas 5 ekar bagi tujuan penanaman nanas secara komersial dengan bimbingan dan sokongan pembiayaan daripada Agrobank. Sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan, Agrobank turut menyampaikan geran iTEKAD serta sumbangan Tabung Khairat dan Zakat kepada peserta program. Turut hadir ialah YBhg. Mejar Jeneral Dato' Haji Semaon bin Haji Marjuki, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM dan Dato' Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank. Melalui inisiatif seperti ini, Agrobank terus memperkukuh peranannya dalam membangunkan ekonomi komuniti luar bandar dan memperkasa usahawan mikro sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara yang inklusif dan mampan.

KUNJUNGAN HORMAT PVRAJD JEPADA KETUA PENGARAH JHEV ATM

Kuala Lumpur, 1 Ogos 2025 – Wakil-wakil Persatuan Veteran Rejimen Askar Jurutera Diraja (PVRAJD) telah mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM), YBhg. Mejar Jeneral Dato' Haji Semaon bin Haji Marjuki, bertempat di Ibu Pejabat JHEV ATM, dekat sini pada Jumaat. Kunjungan ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan strategik antara PVRAJD dan pihak pengurusan tertinggi JHEV ATM, selain membincangkan isu-isu berkaitan kebajikan serta kepentingan veteran yang pernah berkhidmat dalam Rejimen Askar Jurutera Diraja. PVRAJD diketuai oleh Brig Jen Dato’ Pahlawan Mohd Tairobi bin Abd Razak (Bersara) selaku Penasihat PVRAJD. Turut hadir ialah Tuan Haji Abd Latif bin Nonin, Yang Dipertua PVRAJD, Lt Kol Shobri bin Abdullah (Bersara), Ketua Penerangan PVRAJD serta Dato’ Adnan bin Ahmad, Ahli PVRAJD. Pertemuan ini diharap dapat menjadi titik permulaan kepada jalinan kerjasama yang lebih erat dalam usaha memperkasa agenda kebajikan dan pembangunan berterusan buat warga veteran ATM, khususnya bekas anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja. Hadir sama ialah Pengarah Bahagian Kerjaya dan Sosioekonomi JHEV ATM, Puan Irma Jasmin binti Ishak.

PRIHATIN TIADA NOKTAH : PVM MENYANTUNI WIRA NEGARA DI SENDAYAN, NEGERI SEMBILAN

SEDAYAN, 25 JULAI 2025 - Program Mini Peduli Veteran Madani (PVM) Timbalan Menteri Pertahanan anjuran Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) diteruskan di Sendayan, Negeri Sembilan dengan kehadiran Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly bin Zahari bagi menzahirkan keprihatinan dan penghargaan kepada para Veteran ATM yang memerlukan.
Program ini menyaksikan lawatan ziarah kasih ke lima (5) buah kediaman Veteran ATM sekitar Taman Bukit Sendayan dan Taman Gadong Jaya. Lawatan dimulakan dengan kunjungan ke rumah veteran pertama, Encik Osman bin Abdul Kadis yang menghidap pelbagai masalah kesihatan termasuk sakit buah pinggang tahap 5, masalah jantung serta penglihatan yang terhad.
Turut diziarahi adalah:
1. Encik Norzamri bin Idris, yang mengalami _minor stroke_ dan kehilangan kaki akibat komplikasi diabetes.
2. Encik Mohd Hisham bin Basal, yang terlantar akibat ketumbuhan dalam kepala.
3. Encik Kemri bin Ali, yang mempunyai anak istimewa (OKU) - Masalah Pendengaran.
4. Encik Ahmad Johari bin Abdul Rahman, yang mempunyai anak istimewa (OKU) - Masalah Pembelajaran.
Kesemua Veteran ATM yang dikunjungi merupakan Veteran Berpencen dengan latar belakang perkhidmatan antara 21 hingga 24 tahun dan turut menerima pelbagai bentuk bantuan daripada kerajaan termasuk Bantuan Insentif Awal, Bantuan Khas Aidilfitri dan Bantuan Peralatan Perubatan.
Program ini turut melibatkan penyampaian sumbangan keperluan asas dan perubatan seperti kerusi roda, lampin pakai buang dan katil hospital. Inisiatif ini selaras dengan aspirasi Kementerian Pertahanan untuk memastikan kebajikan Veteran ATM terus terpelihara dan dihargai.
Lawatan PVM Sendayan bukan sekadar kunjungan simbolik, malah menjadi wadah mendekati Veteran ATM secara langsung, memahami keperluan mereka serta merapatkan hubungan antara kerajaan dan warga Veteran ATM yang telah banyak berkorban demi kedaulatan negara.
Turut hadir dalam lawatan kali ini adalah Pengarah JHEV ATM Cawangan Melaka dan Negeri Sembilan, Mej Muhammad Zarifi bin Haji Tumin, Penolong Pengarah Bahagian Dasar, Mej Muhaizam bin Mustapa Delmi, Pengurus Besar DVET Holding Sdn. Bhd., Lt Muhammad Faris bin Pakri (B), Timbalan Yang DiPertua PVATM Negeri Sembilan, Encik Hairul Anuar bjn Shafiai dan wakil-wakil Persatuan Veteran ATM Negeri Sembilan.

KUNJUNGAN HORMAT SMART COLLEGE KEPADA KETUA PENGARAH JHEV ATM

KUALA LUMPUR, 17 JULAI 2025 - Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM), YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Smart College di pejabat beliau pada jam 3.00 petang.
Delegasi Smart College diketuai oleh YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Mohd Yunus bin Long (B), Pengerusi Smart College, bersama Ketua Pegawai Operasi, Mr. Alexander David Pon. Kunjungan ini bertujuan untuk mengukuhkan hubungan strategik antara JHEV ATM dan Smart College serta membincangkan potensi kerjasama dalam bidang pendidikan dan pembangunan kerjaya bagi anggota tentera yang akan bersara.
Dalam sesi perbincangan, pihak Smart College telah memperkenalkan beberapa program akademik yang dirangka khusus untuk bakal pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), termasuk:
1. Diploma Penguatkuasaan dan Pematuhan
2. Diploma Penyiasatan Korporat
3. Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
Program-program ini dirancang bagi membantu anggota ATM yang bakal bersara membuat peralihan kerjaya secara lebih terancang dan berkesan, sama ada dalam sektor awam mahupun swasta.
JHEV ATM menyambut baik inisiatif ini dan melihatnya sebagai satu langkah positif dalam memperkasakan proses reskilling dan upskilling veteran ATM. Usaha ini juga selaras dengan komitmen JHEV dalam memastikan kebajikan dan pembangunan pasca-perkhidmatan warga ATM terus diberi perhatian melalui akses kepada pendidikan dan latihan profesional.

Bilangan Pelawat

3418360
Hari Ini: 527
Jumlah Pelawat: 3,418,360

facebook
tiktok
instagram
youtube
location
footer-logo

Pusat Perkhidmatan Setempat (OSC) JHEV ATM

Aras G, Menara TH Perdana, 1001 Jalan Sultan Ismail, 50250 Kuala Lumpur

Tel: 03-2050 8000
Pusat Panggilan: 03-2697 6600

Ibu Pejabat  Cawangan


Hakcipta 2024 © Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM