Skip to main content

faq

Soalan Lazim

hubungi

Hubungi Kami

maklumbalas

Aduan

peta

Peta Laman

Berita

JHEV ATM PERKUKUH INISIATIF PERUMAHAN UNTUK VETERAN ATM DENGAN KERJASAMA SPNB

ARAU, 13 FEBRUARI 2025 – Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM terus komited dalam memastikan kesejahteraan veteran dengan memperkenalkan inisiatif perumahan yang lebih mampan dan inklusif. Program ini bertujuan membantu veteran ATM, khususnya golongan berpendapatan rendah dalam kalangan asnaf, memperoleh kediaman yang selesa dan berkualiti selepas menamatkan perkhidmatan dengan ATM. Melalui kerjasama strategik dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), JHEV ATM menyediakan akses kepada skim perumahan mampu milik, bantuan pembinaan dan baik pulih rumah, sekaligus memastikan lebih ramai veteran ATM berpeluang memiliki kediaman sendiri. Inisiatif ini selari dengan usaha kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup golongan veteran ATM dan menjamin kebajikan mereka secara konsisten. Sebagai acara simbolik kepada usaha sama ini, dua penerima bantuan Rumah Bina Baharu Dibawah Inisiatif Perumahan Veteran ATM 2024 telah diraikan dalam satu majlis pada Khamis, iaitu Puan Bashah binti Ismail, balu kepada Allahyarham Encik Jabasutami bin Ahmad serta Encik Othman bin Murat, seorang veteran ATM. Bantuan ini pasti akan dapat meringankan beban mereka dan keluarga serta memberi jaminan kehidupan yang lebih selesa dan selamat. Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM), Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki telah menyempurnakan majlis ini. Turut Hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah JHEV ATM, Tuan Sophian Isswandy bin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Veteran ATM, Lt Kol Azwadi bin Jamian (Bersara), Pengarah JHEV ATM Cawangan Negeri Kedah, Perlis, dan Pulau Pinang, Mej Mohd Izmer bin Ghazali (TUDM), serta ahli persatuan-persatuan Veteran ATM sekitar Negeri Perlis. Melalui inisiatif ini, JHEV ATM berharap dapat memberi impak positif kepada kehidupan veteran ATM dengan memastikan mereka memiliki kediaman yang selesa dan stabil, sekaligus membolehkan mereka terus menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat dalam kehidupan selepas perkhidmatan dengan ATM.

MAJLIS PENYERAHAN GANJARAN FAEDAH HILANG UPAYA (GHU) BAGI DAERAH MUAR, JOHOR

MUAR, 8 FEBRUARI 2025  – Menteri Pertahanan, YB Dato' Seri Mohamed Khaled bin Nordin telah hadir menyempurnakan Majlis Penyerahan Faedah Ganjaran Hilang Upaya veteran ATM di Muar, Johor dekat sini hari ini. Penambahbaikan Faedah Ganjaran Hilang Upaya (GHU) telah disemak secara sepenuhnya dengan memberi kenaikan yang signifikan dan berkuatkuasa bermula Januari 2025 seiring dengan pelarasan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA). Faedah GHU ini adalah satu bentuk manfaat kepada semua anggota ATM yang mengalami kecederaan semasa tugas aktif (Wounded in Action) yang diberi secara sekali gus (one off). YB Menteri Pertahanan telah menyampaikan faedah Ganjaran Hilang Upaya (GHU) kepada seramai tujuh (7) veteran ATM daerah Muar, Johor. Dalam majlis yang sama, YB Menteri Pertahanan turut menyampaikan bungkusan Kotak Cakna kepada seramai sembilan (9) veteran ATM yang diantaranya mengalami masalah pendengaran, masalah pertuturan, kemalangan dalam perkhidmatan, menjaga anak Orang Kurang Upaya (OKU), uzur, mengalami sakit jantung dan Veteran Kurang Upaya (VKU). Seramai 1,825 veteran ATM hilang upaya seluruh Malaysia termasuk yang cedera semasa melaksanakan tugas aktif dan 292 orang daripada jumlah tersebut mengalami kecederaan semasa operasi dan latihan berisiko tinggi. Penyerahan faedah GHU selepas penambahbaikan telah mula dilaksanakan sejak awal Januari 2025 dan seramai 50 orang yang telah pun menerima GHU. Untuk rekod, veteran di Daerah Muar, Johor mempunyai seramai 2,020 veteran ATM di mana 916 adalah veteran ATM berpencen, 733 adalah veteran ATM yang tidak berpencen dan 371 penerima pencen terbitan. Pengukuhan dan pemerkasaan aspek kesejahteraan veteren sentiasa diperluas dan diperkemas agar kebajikan veteran ATM sentiasa terpelihara sebagaimana yang telah digariskan di dalam Perutusan Tahun Baharu 2025 Menteri Pertahanan dalam Fokus Keempat: Memperkukuh Ekosistem Kesejahteraan. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pengarah JHEV ATM Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki dan Lt Kol Azwadi bin Jamian, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM.

VETERAN ATM DAN KELUARGA DIRAI DALAM MAJLIS HI-TEA BERSAMA TIMBALAN MENTERI PERTAHANAN

ALOR GAJAH, 1 FEBRUARI 2025 – Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly Zahari telah meluangkan masa bersama-sama dengan veteran ATM Negeri Melaka dalam satu Majlis Hi-Tea anjuran Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) di Dewan Penyayang, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Alor Gajah dekat sini hari ini. Warga veteran ATM yang diraikan adalah terdiri dari kalangan mereka yang cedera ketika bertugas sama ada semasa melaksanakan operasi atau latihan berisiko tinggi. Selain menyantuni mereka, YB Timbalan Menteri Pertahanan turut menyampaikan faedah Ganjaran Hilang Upaya (GHU) kepada seramai 38 veteran ATM dari Zon Tengah iaitu Melaka dan Negeri Sembilan, kata kenyataan itu. Dalam majlis yang sama, YB Timbalan Menteri Pertahanan telah berbesar hati menyampaikan komputer riba kepada seramai lapan ( 8 ) orang penerima dari kalangan asnaf veteran ATM serta Sumbangan Rahmah kepada 22 buah persatuan veteran ATM Melaka. Terdapat seramai 1,825 veteran ATM hilang upaya seluruh Malaysia termasuk yang cedera semasa melaksanakan tugas aktif. Daripada jumlah tersebut seramai 292 veteran ATM mengalami kecederaan semasa operasi dan latihan berisiko tinggi. Penyampaian sumbangan GHU telah mula dilaksanakan sejak awal Januari 2025. Daripada 292 veteran ATM yang telah disenaraikan, seramai 43 orang telah pun menerima GHU. Kerajaan amat menghargai dan memandang serius aspek kebajikan semua veteran ATM khususnya yang tercedera. Dalam usaha menjamin kebajikan mereka, kerajaan telah mengumumkan penambahbaikan Kadar Faedah Hilang Upaya (FHU) veteran ATM berkuatkuasa pada Januari 2025 seperti berikut:
i. Peningkatan Pencen Hilang Upaya (PHU) Pencen bulanan bagi semua peratus darjah hilang upaya dan kenaikan 10% untuk penerima sedia ada di susunan 2A di dalam PPAT 1982.
ii. Ganjaran Hilang Upaya (GHU) Ganjaran antara RM6,000.00 hingga RM72,000.00 mengikut peratus kecederaan individu secara (one-off) kepada semua anggota yang cedera semasa tugas aktif.
iii. Elaun Pelajaran Kepada anak penerima PHU dinaikkan daripada RM200 hingga RM685 kepada RM1,600 hingga RM5,400.
iv. Elaun Layanan Sentiasa Dinaikkan daripada RM440 kepada RM1,500 sebulan. Negeri Melaka mempunyai 12,805 veteran ATM dimana 7,320 adalah veteran ATM berpencen, 3,123 adalah veteran ATM yang tidak berpencen dan 2,362 penerima pencen terbitan. Kementerian Pertahanan melalui JHEV ATM akan terus komited memelihara kebajikan veteran ATM. Tekad ini adalah selari dengan komitmen yang telah digariskan dalam Pelan Strategik MINDEF 2021-2025: Teras 7 – Transformasi Kesejahteraan Veteran ATM. Iltizam ini juga disokong dengan peningkatan peruntukan JHEV ATM sebanyak RM226 juta kepada RM239 juta bagi tahun 2025. Peruntukan ini adalah untuk membiayai perbelanjaan kebajikan dan kemudahan veteran ATM khususnya Bantuan Sara Hidup (BSH), Bantuan Perubatan, Bantuan Institut Pengajian Tinggi dan Persekolahan, Inisiatif Perumahan dan sebagainya. Selain itu, program Work-Based Learning (WBL) diperkenalkan bagi mempersiapkan veteran dengan kemahiran kerjaya kedua, termasuk PRO WIRA yang menjamin pendapatan minimum RM2,000 sebulan selama setahun. JHEV ATM turut memperkukuh hubungan veteran dengan masyarakat, sektor korporat, dan agensi seperti Talent Corp serta PERKESO melalui program My WIRA dan My Future Jobs. Inisiatif seperti Veteran Madani (PVM), Veteran Desa Madani (VDM), dan Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET) juga diteruskan bagi memastikan kebajikan mereka terus terbela. Turut hadir dalam Majlis Hi-Tea Veteran ATM pada hari ini ialah Ketua Pengarah JHEV ATM Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki, Brig Jen Datuk Khairul Izan bin Muhammad Sufian Komander Artileri Divisyen, Markas Artileri 3 Divisyen merangkap Wakil Panglima 3 Divisyen, Pengarah JHEV ATM Cawangan Negeri Sembilan & Melaka Mejar Haji Muhammad Zarifi bin Haji Tumin, Datuk Ashraf Mukhlis bin Minghat Pegawai Penyelaras Parlimen Alor Gajah, Kol Khairul Anwar bin Soib Timbalan Panglima 10 Bgd (Para) merangkap Wakil Panglima 10 Bgd (Para), Lt Kol Azwadi bin Jamian, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM, Encik Mohamad Noor bin Sahidi Johari, Ketua Pusat Kecemerlangan dan Penyelidikan Syariah, Etiqa Takaful Berhad dan persatuan-persatuan ATM Negeri Melaka.

MAJLIS HI TEA JHEV ATM BERSAMA YB MENTERI PERTAHANAN: SIGNIFIKAN PENGHARGAAN KEPADA VETERAN CEDERA

KUALA LUMPUR, 20 JANUARI 2025 – Majlis Hi-Tea yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran, Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) bersama YB Menteri Pertahanan signifikan, memberi penghormatan kepada 38 daripada 292 jumlah keseluruhan veteran yang tercedera semasa operasi dan latihan berisiko tinggi. Para Veteran ATM yang hadir dari Lembah Klang, Negeri Sembilan, Melaka, dan Perak membuktikan bahawa mereka masih mempunyai semangat juang yang tinggi dalam dunia ketenteraan walaupun terhalang dengan kecederaan yang berlaku semasa operasi dan latihan.
Dalam pada itu, majlis ini juga menyaksikan kerjasama strategik antara JHEV ATM dan beberapa pihak seperti Agro Bank, Affin Bank, PERNAS, dan SPNB dalam menyokong program kerjaya kedua untuk Veteran ATM. SPNB khususnya dalam libat urus menyumbang subsidi perumahan sebanyak RM20,000 bagi rumah bina baharu untuk Veteran ATM.
Turut hadir dalam majlis ini ialah YB Tuan Adly bin Zahari, Timbalan Menteri Pertahanan, ketua-ketua tertinggi angkatan tentera dan veteran ATM serta Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran, Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) YBhg. Mej Jen Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki. Majlis ini juga merakamkan penghargaan kepada penyumbang Kempen Tabung Pahlawan (KTP) yang telah memberikan komitmen yang tinggi melalui sumbangan besar serta sangat tinggi nilainya khusus kepada kebajikan Veteran ATM keseluruhannya.
“JHEV ATM mengharapkan majlis ini akan dapat diteruskan pada masa depan, menjadi platform untuk menzahirkan penghargaan kepada veteran cedera dan merapatkan hubungan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi serta penyumbang-penyumbang KTP demi memperkasakan serta memartabatkan aspek kebajikan Veteran ATM,” kata Dato’ Semaon Marjuki semasa berucap di hadapan lebih 400 orang tetamu yang hadir.

TYT YANG DI-PERTUA NEGERI PULAU PINANG TERIMA KUNJUNGAN HORMAT KETUA PENGARAH JHEV ATM

PULAU PINANG, 14 JANUARI 2025 - Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak, menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran, Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM), YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki di Kediaman Rasmi Seri Mutiara, George Town, Pulau Pinang dekat sini, pada Selasa.

Kunjungan ini merupakan satu usaha berterusan JHEV ATM untuk memastikan kebajikan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus mendapat perhatian dan keutamaan, khususnya di Negeri Pulau Pinang. Melalui pertemuan ini juga, Ketua Pengarah JHEV ATM berpeluang berkongsi maklumat mengenai pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan serta merancang program-program tambahan bagi memperkukuhkan sokongan kepada golongan Veteran ATM dan keluarga mereka.

Antara agenda utama yang dibincangkan termasuklah:

  1. Bantuan Sara Hidup (BSH) – Menyokong keperluan asas Veteran ATM dan keluarga mereka, terutama yang berpendapatan rendah.
  2. Inisiatif Perumahan – Memberikan bantuan untuk baik pulih atau pembinaan rumah baharu bagi Veteran ATM yang memerlukan.
  3. Bantuan Persekolahan dan IPT – Membantu keluarga Veteran ATM dengan perbelanjaan pendidikan anak-anak demi masa depan yang lebih cerah.
  4. Bantuan Bencana Alam – Menyediakan sokongan segera kepada Veteran ATM yang terkesan akibat bencana seperti banjir dan ribut.
  5. Bantuan Peralatan Pesakit – Membekalkan peralatan perubatan seperti kerusi roda, katil khas, dan lain-lain kepada Veteran ATM yang memerlukan.
  6. Bantuan Mengurus Jenazah – Memberikan bantuan kewangan untuk urusan pengebumian Veteran ATM sebagai penghormatan terakhir kepada mereka.
  7. Peluang Kerjaya Kedua – Kerjasama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada Veteran ATM yang berpencen dan tidak berpencen, bagi membantu mereka meneruskan kehidupan selepas tamat perkhidmatan.

TYT Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi turut merakamkan penghargaan atas segala usaha JHEV ATM dalam menjaga kebajikan para veteran, yang disifatkan sebagai golongan yang banyak berjasa kepada negara. Beliau berharap agar kerjasama erat antara kerajaan negeri dan JHEV ATM dapat diteruskan dan diperkukuhkan lagi pada masa akan datang.

Turut hadir dalam kunjungan hormat tersebut ialah Lt Kol Azwadi bin Jamian (Bersara), Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM, Mejar Mohammad Syaffik bin Yahaya, Pegawai Staf 2 Atur Turus JHEV ATM dan Mejar Mohd. Izmer bin Ghazali (TUDM), Pengarah JHEV ATM Cawangan Kedah, Perlis, dan Pulau Pinang.

KUNJUNGAN HORMAT AGRO BANK KE ATAS KETUA PENGARAH JHEV ATM

KUALA LUMPUR, 12 NOVEMBER 2024 - Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) hari ini menerima kunjungan hormat daripada pihak Agrobank.
Ketibaan Delegasi Agrobank yang diketuai oleh Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, YM Dato' Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, disambut oleh Ketua Pengarah JHEV ATM, Mej Jen Dato' Haji Semaon bin Haji Marjuki, di Ibu Pejabat Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, Menara TH Perdana, Kuala Lumpur.
Diantara topik perbincangan dalam pertemuan tersebut ialah berkaitan projek khas sosioekonomi untuk Veteran ATM dalam bidang pertanian dan perikanan yang mana kedua-dua pihak memfokuskan bagi meningkatkan kebajikan Veteran ATM khususnya dalam aspek kewangan dan pembangunan usahawan.
Agrobank berkongsi inisiatif-inisiatif terkini mereka yang memberikan penekanan kepada sokongan kewangan dan latihan keusahawanan untuk membantu komuniti veteran ATM dalam memperkukuhkan kedudukan ekonomi selepas bersara daripada perkhidmatan.
"Kerjasama ini adalah satu langkah penting dalam memastikan veteran ATM dan keluarga mereka mendapat akses yang lebih luas kepada peluang ekonomi yang boleh membantu memperbaiki taraf hidup mereka," ujar Ketua Pengarah JHEV ATM semasa ditemui selepas kunjungan tersebut berakhir.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, YM Dato' Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin menyatakan bahawa Agrobank komited untuk menyediakan pelbagai kemudahan yang sesuai bagi menyokong komuniti veteran dalam menjana pendapatan tambahan. Hasil daripada perbincangan tersebut, satu program khas untuk Veteran ATM dalam bidang pertanian nanas akan dirangka dan dimuktamadkan sebelum akhir tahun ini. Sebagai permulaan, program bernilai RM11.2 juta ini dijangka memberi manfaat kepada 40 Veteran ATM dengan pulangan pendapatan sekitar RM4,000.00 ke RM7,000.00 sebulan.
Turut hadir dalam kunjungan hormat ini ialah En. Muhamad Haizar bin Yaakub (Section Head, Micro Business Department, Business Banking Division)

KUNJUNGAN HORMAT IBY VENTURES KE ATAS KETUA PENGARAH JHEV ATM

𝗞𝗨𝗔𝗟𝗔 𝗟𝗨𝗠𝗣𝗨𝗥, 𝟭𝟭 𝗡𝗢𝗩𝗘𝗠𝗕𝗘𝗥 𝟮𝟬𝟮𝟰 - IBY Ventures, sebuah syarikat terkemuka dalam sektor perkhidmatan pembekalan makanan, telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Berbahagia Mej Jen Dato' Haji Semaon bin Hj Marjuki, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM).
Kunjungan yang diketuai oleh Mej Jen Dato' Dr. Haji Ibrahim bin Yasir (B), seorang tokoh veteran ATM yang juga terlibat dalam sektor perniagaan ini bertujuan untuk membincang dan bertukar pendapat dalam menyediakan perkhidmatan pembekalan makanan berkualiti kepada pelajar-pelajar di sekolah-sekolah berasrama penuh.
"Kerjasama ini adalah langkah yang sangat positif, bukan sahaja memberi peluang kepada veteran ATM untuk berkembang dalam sektor perkhidmatan makanan, tetapi juga memberi manfaat kepada sektor pendidikan negara. Kami berharap projek ini dapat berjalan dengan baik dan memberi impak positif kepada semua pihak yang terlibat," kata Dato’ Haji Semaon apabila ditemui semasa kunjungan hormat tersebut.

KUNJUNGAN HORMAT DATASONIC GROUP BERHAD KE ATAS KETUA PENGARAH JHEV ATM

𝗞𝗨𝗔𝗟𝗔 𝗟𝗨𝗠𝗣𝗨𝗥, 𝟴 𝗡𝗢𝗩𝗘𝗠𝗕𝗘𝗥 𝟮𝟬𝟮𝟰 - Datasonic telah melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM), Mejar Jeneral Dato' Haji Semaon bin Haji Marjuki hari ini. Kunjungan ini bertujuan bagi membincangkan peluang kerjasama dalam memperkukuh kebajikan veteran ATM dalam usaha meningkatkan taraf hidup mereka.
Kunjungan tersebut diketuai oleh Dato' Syahril Abdullah, Pengarah Perancangan Strategik Dan Transformasi Datasonic, turut mengikuti En. Izmir Abd. Hamid, Naib Presiden Metaverse. Di antara topik perbincangan dengan pihak JHEV ATM adalah mengenai pelbagai inisiatif yang boleh dijalankan bersama untuk memberi manfaat kepada veteran ATM dan keluarga mereka amnya.
Dato' Syahril Abdullah dalam pertemuan tersebut turut menyatakan bahawa Datasonic, sebagai syarikat yang terlibat dalam sektor teknologi dan transformasi digital, berhasrat untuk menyumbang kepada program kebajikan veteran ATM dengan menawarkan pelbagai penyelesaian berkaitan teknologi yang inovatif.
"Kami percaya teknologi dapat memainkan peranan penting dalam meningkatkan perkhidmatan dan kesejahteraan veteran ATM. Kami juga berharap dapat menjalin kerjasama yang mampu memberi manfaat kepada mereka dalam pelbagai aspek kehidupan," kata beliau semasa ditemui selepas sesi kunjungan tersebut.
Ketua Pengarah JHEV ATM menyambut baik inisiatif ini dan menyatakan bahawa kerjasama dengan sektor swasta, terutamanya dalam bidang teknologi, adalah satu langkah positif memodenkan perkhidmatan kepada veteran ATM. Beliau turut mengharapkan, akan tampil lebih banyak syarikat seperti Datasonic turut serta dalam usaha memajukan kehidupan veteran ATM, terutama dalam era digital yang semakin berkembang ini.

𝗞𝗨𝗡𝗝𝗨𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗛𝗢𝗥𝗠𝗔𝗧 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗘𝗦𝗢 𝗞𝗘 𝗔𝗧𝗔𝗦 𝗞𝗘𝗧𝗨𝗔 𝗣𝗘𝗡𝗚𝗔𝗥𝗔𝗛 𝗝𝗛𝗘𝗩 𝗔𝗧𝗠 : 𝗧𝗔𝗪𝗔𝗥𝗔𝗡 𝗦𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗘𝗦𝗘𝗟𝗔𝗠𝗔𝗧𝗔𝗡 𝗦𝗢𝗦𝗜𝗔𝗟 𝗣𝗘𝗞𝗘𝗥𝗝𝗔𝗔𝗡 𝗦𝗘𝗡𝗗𝗜𝗥𝗜 𝗞𝗜𝗡𝗜 𝗗𝗜𝗕𝗨𝗞𝗔

𝗞𝗨𝗔𝗟𝗔 𝗟𝗨𝗠𝗣𝗨𝗥, 𝟴 𝗡𝗢𝗩𝗘𝗠𝗕𝗘𝗥 𝟮𝟬𝟮𝟰 - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM), Mejar Jeneral Dato' Haji Semaon bin Haji Marjuki. Kunjungan ini bertujuan untuk membincangkan inisiatif-inisiatif terbaru yang ditawarkan oleh PERKESO, antaranya ialah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.
Dalam pertemuan tersebut, PERKESO telah memaklumkan bahawa mereka menawarkan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri dengan kadar harga yang amat berpatutan, bermula dengan RM23.30 setahun, berbanding harga biasa sebanyak RM232.80 setahun.
Tawaran khas ini hanya sah sehingga akhir tahun 2024 dan ia bertujuan untuk memberikan perlindungan sosial kepada golongan yang bekerja sendiri, termasuk veteran ATM dan pasangan serta anak veteran yang terlibat dalam sektor pekerjaan bebas atau perniagaan kecil.
Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, antara lain menggariskan bahawa skim ini merupakan langkah penting untuk memastikan golongan pekerja sendiri mendapat akses kepada perlindungan keselamatan sosial, terutamanya dalam menghadapi risiko ketidakupayaan untuk bekerja akibat kemalangan atau penyakit.
Beliau menekankan bahawa inisiatif ini membuka peluang yang sangat baik kepada komuniti veteran ATM untuk mendapatkan perlindungan keselamatan sosial yang lebih lengkap dan mampan.
Jalinan kerjasama antara PERKESO dan JHEV ATM ini nanti, diharapkan penyertaan lebih ramai individu dalam komuniti veteran ATM dapat menikmati manfaat daripada perlindungan keselamatan sosial yang lebih baik, selaras dengan matlamat memperkasakan taraf hidup veteran dan keluarga mereka.

𝗞𝗨𝗡𝗝𝗨𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗛𝗢𝗥𝗠𝗔𝗧 𝗞𝗢𝗣𝗘𝗥𝗔𝗦𝗜 𝗧𝗘𝗡𝗧𝗘𝗥𝗔 𝗞𝗘 𝗔𝗧𝗔𝗦 𝗞𝗘𝗧𝗨𝗔 𝗣𝗘𝗡𝗚𝗔𝗥𝗔𝗛 𝗝𝗛𝗘𝗩 𝗔𝗧𝗠, 𝗠𝗘𝗠𝗣𝗘𝗥𝗞𝗨𝗞𝗨𝗛 𝗞𝗘𝗥𝗝𝗔𝗦𝗔𝗠𝗔 𝗨𝗡𝗧𝗨𝗞 𝗞𝗘𝗦𝗘𝗝𝗔𝗛𝗧𝗘𝗥𝗔𝗔𝗡 𝗩𝗘𝗧𝗘𝗥𝗔𝗡

𝗞𝗨𝗔𝗟𝗔 𝗟𝗨𝗠𝗣𝗨𝗥, 𝟴 𝗡𝗢𝗩𝗘𝗠𝗕𝗘𝗥 𝟮𝟬𝟮𝟰 - Koperasi Tentera telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran, Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM), Mejar Jeneral Dato' Haji Semaon bin Haji Marjuki. Kunjungan ini antara lain bagi memperkukuh hubungan serta menjalin kerjasama yang lebih erat demi kesejahteraan veteran ATM dan keluarga mereka.
Selain daripada itu, ianya juga mewujudkan ruang untuk berbincang di antara kedua-dua belah pihak tentang inisiatif-inisiatif baru yang boleh memberi manfaat kepada veteran ATM, terutama dalam aspek ekonomi dan kebajikan.
Rombongan tersebut diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Koperasi Tentera, Mohamad Khairul Anuar Mohamed. Turut hadir ialah Ketua Perbankan Perniagaan Koperasi Tentera, Eh Run Eh Noi, serta Ahli Lembaga Koperasi, Tn. Hj. Hafizi bin Abdul Mutolif.
Dalam pertemuan tersebut, pihak Koperasi Tentera telah memaklumkan beberapa program dan produk kewangan yang akan diperkenalkan khusus untuk veteran ATM. Program-program ini nanti akan dapat memberikan peluang kepada veteran untuk memperkukuh ekonomi mereka melalui keahlian koperasi, serta memanfaatkan produk kewangan yang lebih mudah dan berpatutan.

Bilangan Pelawat

3418462
Hari Ini: 93
Jumlah Pelawat: 3,418,462

facebook
tiktok
instagram
youtube
location
footer-logo

Pusat Perkhidmatan Setempat (OSC) JHEV ATM

Aras G, Menara TH Perdana, 1001 Jalan Sultan Ismail, 50250 Kuala Lumpur

Tel: 03-2050 8000
Pusat Panggilan: 03-2697 6600

Ibu Pejabat  Cawangan


Hakcipta 2024 © Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM