VETERAN ATM DISANTUNI
TAWAU, 10 September 2024 – Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly Zahari dalam siri lawatan beliau ke Sabah bermula 8 hingga 10 September 2024 bagi Program Peduli Veteran Madani (PVM) di sekitar Tawau dekat sini hari ini.
Dalam lawatan tersebut, beliau telah menyantuni seramai 11 orang Veteran ATM di kalangan mereka yang uzur, sakit kronik, balu, anak-anak OKU dan usahawan.
YB Adly juga turut berbesar hati menyampaikan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada salah seorang veteran ATM yang dilawati yang tidak dapat hadir dalam majlis penganugerahan sebelum ini kerana masalah kesihatan.
“Inisiatif PVM bertindak bagi memastikan veteran tidak hanya dihargai secara simbolik, tetapi juga diberikan sokongan praktikal untuk meningkatkan kualiti hidup mereka”.
“Sumbangan ini adalah tanda penghargaan kami kepada para Veteran ATM yang telah berkorban untuk negara. Kami berkomitmen untuk memastikan mereka menerima sokongan dan bantuan yang sewajarnya sebagai menghargai jasa”, ujar YB Adly semasa sidang media.
Mendokong Teras ke-6 Dasar Madani iaitu ’Ihsan’, Kerajaan komited meningkatkan peruntukan JHEV ATM dari RM118 juta kepada RM244 juta pada tahun 2024.
Peningkatan yang begitu ketara ini mampu memberi manfaat yang lebih luas kepada Veteran ATM. Justeru, veteran ATM disaran untuk mendaftar dan mengemaskini maklumat peribadi dengan JHEV ATM serta persatuan-persatuan di lokaliti masing- masing bagi memastikan semua Skim Bantuan yang disediakan oleh JHEV ATM seperti Bantuan Sara Hidup (BSH), Bantuan Persekolahan, Bantuan Kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi, Bantuan Peralatan Pesakit dan Bantuan Bencana Alam dapat disalurkan kepada veteran ATM yang berkelayakan secara teratur dan efektif.
Pada tahun ini, kerajaan juga telah meningkatkan peruntukan Bayaran Sara Hidup sebanyak tiga kali ganda iaitu daripada RM54 juta kepada RM174 Juta.
Sehingga 30 Jun 2024, seramai 29,331 veteran ATM telah menerima faedah ini
melibatkan perbelanjaan hampir RM56 juta.
Inisiatif PVM bertindak sebagai medan untuk interaksi secara dua hala antara
Kementerian Pertahanan dan Veteran ATM melibatkan 5 fokus utama iaitu kebajikan, kesihatan, perumahan, pendidikan, dan pemerkasaan ekonomi veteran ATM.
PVM akan terus menjadi platform kementerian untuk menyampaikan sumbangan kebajikan dan insentif keusahawanan kepada Veteran ATM yang memerlukan sebagai galakan untuk memperkasakan sosioekonomi mereka.
Lawatan Peduli Veteran Madani (PVM) kali ini turut diiringi oleh Timbalan Ketua Pengarah JHEV ATM, Encik Sophian Isswandy bin Ismail, Penolong Pengarah JHEV ATM Sabah, Kapten Muhammad Khaidir bin Ramlee TUDM, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM, Lt. Kol. (B) Azwadi bin Jamian, anggota dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Tawau dan wakil-wakil persatuan sekitar Tawau.