𝗟𝗔𝗪𝗔𝗧𝗔𝗡 𝗞𝗘𝗥𝗝𝗔 𝗞𝗘𝗧𝗨𝗔 𝗣𝗘𝗡𝗚𝗔𝗥𝗔𝗛 𝗝𝗛𝗘𝗩 𝗔𝗧𝗠 𝗞𝗘 𝗜𝗕𝗨 𝗣𝗘𝗝𝗔𝗕𝗔𝗧 𝗣𝗩𝗔𝗧𝗠 𝗗𝗜 𝗪𝗜𝗦𝗠𝗔 𝗣𝗔𝗛𝗟𝗔𝗪𝗔𝗡
𝗞𝗨𝗔𝗟𝗔 𝗟𝗨𝗠𝗣𝗨𝗥, 𝟮𝟭 𝗢𝗞𝗧𝗢𝗕𝗘𝗥 𝟮𝟬𝟮𝟰 - Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran, Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) YBhg. Mejar Jeneral Dato' Haji Semaon bin Haji Marjuki, telah melakukan lawatan ke Wisma Pahlawan dekat sini hari ini.
Ketibaan beliau dan rombongan disambut oleh Presiden Persatuan Veteren ATM (PVATM) YBhg. Kapten Datuk Sharuddin bin Haji Omar (Bersara), Timbalan Presiden PVATM Brig. Jen. Datuk Bustaman bin Haji Mat Zin (B) dan 6 orang Ahli Exco PVATM.
Lawatan ini merupakan satu langkah signifikan dalam usaha memperkukuh hubungan dan komunikasi antara JHEV ATM dan PVATM selain memberikan ruang bagi veteran untuk menyampaikan pandangan dan harapan mereka sekaligus menunjukkan komitmen jabatan terhadap kesejahteraan veteran ATM.
Semasa lawatan Ketua Pengarah JHEV ATM diberikan taklimat ringkas berkaitan Persatuan Veteran ATM (PVATM) dan Lembaga Pemegang Amanah Wisma Pahlawan Berhad (LPAWPB). Dalam pada itu, sesi soal jawab mengenai Belanjawan 2025 turut menjadi agenda diskusi kedua-dua pihak, memberikan panduan yang jelas mengenai peruntukan yang akan memanfaatkan veteran ATM amnya.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM, Lt. Kol. (B) Azwadi bin Jamian dan pegawai-pegawai kanan JHEV ATM.