BIDOR, 4 SEPTEMBER 2025 - Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) merangkap Timbalan Pengerusi Yayasan Veteran ATM (YVATM) YBhg. Mejar Jeneral Dato' Haji Semaon bin Haji Marjuki, telah menyempurnakan majlis perasmian pembukaan Pusat Dialisis Yayasan Veteran ATM Cawangan Bidor, Perak dekat sini pada Khamis.
Program ini dianjurkan oleh Yayasan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (YVATM), menempatkan sebuah kemudahan kesihatan yang dibangunkan bagi memberikan rawatan dialisis berkualiti kepada komuniti setempat amnya sekaligus mencerminkan bahawa kolaborasi entiti ini bukan sahaja komited menjaga kebajikan Veteran ATM, tetapi turut memperluas manfaat ini kepada seluruh lapisan masyarakat.
Turut hadir ialah Yang Dihormati Toh Paduka Indera Dato' Haji Mat Rasid bin Ayob, Orang Besar Jajahan Batang Padang, Lt Kol Azwadi bin Jamian (Bersara), CEO Yayasan Veteran ATM, Encik Ahmad Redhauddin bin Ahmad Shokori, Pegawai Daerah Pejabat Daerah dan Tanah Batang Padang, Laksamana Madya Datuk Haji Nasaruddin bin Othman (Bersara), Presiden Persatuan Veteran PASKAL TLDM, serta Encik Khairul Anuar bin Ismail, Pengarah Ketua Perkhidmatan Pencarum mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
YBhg. Ketua Pengarah JHEV ATM, Datoβ Semaon Marjuki semasa ucapan beliau menyatakan bahawa Pusat Dialisis YVATM Cawangan Bidor merupakan sebahagian daripada rangkaian pusat dialisis yang dikendalikan oleh DVET Holding Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh YVATM. Sehingga kini, DVET telah menguruskan empat pusat dialisis di Selangor iaitu di Seri Kembangan, Batu Caves, Bukit Sentosa dan Batang Kali.
Dengan pembukaan cawangan baharu di Bidor, YVATM merancang untuk menambah empat lagi pusat dialisis pada tahun ini, masing-masing di Batu Kurau (Perak), Mersing (Johor), Muadzam Shah (Pahang) dan Jempol (Negeri Sembilan). Pada masa hadapan, YVATM berhasrat untuk memperluaskan perkhidmatan ini ke negeri-negeri lain agar manfaat rawatan dapat dinikmati secara menyeluruh, khususnya oleh para Veteran ATM yang telah banyak berkorban demi tanah air, ujarnya lagi.
Pusat Dialisis Bidor menampilkan kelebihan tersendiri termasuk peralatan moden, pematuhan piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia, jururawat berpengalaman serta suasana mesra pesakit. Keunikan YVATM adalah pendekatan inklusifnya, di mana kemudahan ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat, bukan hanya untuk Veteran ATM.
Majlis perasmian turut menyaksikan penyerahan sumbangan kepada YVATM oleh Affin Islamic Bank Berhad berjumlah RM50,000 oleh Encik Mohd. Faiz bin Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Affin mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Berhad dan Pharmaniaga Berhad berjumlah RM39,500 yang disampaikan oleh Encik Mohd Ridhwan Kalantar Mastan, Head of Plant InspiraPharma Sdn. Bhd. mewakili Pengarah Urusan Pharmaniaga Berhad. Sumbangan ini melambangkan komitmen berterusan sektor korporat dalam menyokong usaha kebajikan YVATM serta memperkukuh jaringan kerjasama strategik yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat, khususnya Veteran ATM.
YVATM turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Daerah Tapah, pihak berkuasa tempatan, organisasi serta masyarakat setempat atas sokongan yang diberikan sehingga terbinanya Pusat Dialisis Cawangan Bidor. Sesungguhnya, kejayaan ini tidak akan direalisasikan tanpa kerjasama erat semua pihak.
Program ini juga adalah sebahagian daripada beberapa inisiatif MINDEF terkait golongan Veteran ATM yang secara langsung menyokong inisiatif Pelan Strategik MINDEF 2021-2025: Teras 7 β Transformasi Kesejahteraan Veteran ATM. Usaha memperkasa veteran ATM juga akan diperkemaskan lagi melalui inisiatif-inisiatif yang telah digariskan di dalam Amanat Perutusan Tahun Baharu 2025 Menteri Pertahanan: Fokus 4 β Memperkukuh Ekosistem Kesejahteraan Warga Pertahanan.