KUALA LUMPUR, 4 FEBRUARI 2026 – Seramai 447 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) dalam Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang berlangsung di Dewan Perdana FELDA, hari ini.
Penganugerahan tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan sebagai tanda penghargaan kerajaan terhadap jasa dan pengorbanan veteran ATM yang telah berbakti mempertahankan kedaulatan serta keselamatan negara.
Majlis berkenaan menjadi manifestasi komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan kebajikan dan kepentingan veteran sentiasa terpelihara. Kerajaan melalui Kementerian Pertahanan dan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) menegaskan bahawa tiada veteran yang seharusnya terpinggir daripada menerima manfaat yang sewajarnya, termasuk tanggungan mereka.
Agenda kesejahteraan veteran turut diangkat sebagai salah satu teras utama dalam Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026–2030. Bagi tahun 2026, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM303.3 juta kepada JHEV ATM, dengan 90 peratus atau RM274.4 juta disalurkan khusus untuk agenda kesejahteraan veteran. Peningkatan peruntukan yang konsisten sejak 2022 mencerminkan kesungguhan berterusan kerajaan dalam membela kebajikan warga veteran ATM.
Dalam usaha memperkasakan komuniti veteran, Kementerian Pertahanan dan JHEV ATM telah melaksanakan pelbagai kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, institusi kewangan dan rakan industri. Antara program yang diperkenalkan termasuk Inisiatif Perumahan Veteran ATM bersama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Program Road to Franchise dengan PERNAS, pembiayaan ladang kontrak melalui Agrobank serta program pembangunan usahawan bersama Affin Islamic Bank.
Selain itu, kerjasama dengan TalentCorp dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) turut membantu mengenal pasti bakat veteran untuk kerjaya kedua serta menyediakan ekosistem pertanian lengkap melalui Program MyHero Tani. Usaha meningkatkan kebolehpasaran veteran juga diperkukuh melalui latihan bersama PERHEBAT dan HRD Corp, di samping program kesihatan seperti MyHero Care Privilege dan MyHero Sihat Sejahtera.
Kementerian turut memperluaskan peluang latihan menerusi Program PROTÉGÉ Veteran dan Readiness-to-Work bagi meningkatkan kapasiti serta daya saing veteran dalam pasaran pekerjaan semasa. Pada masa sama, Kempen Tabung Pahlawan terus dimanfaatkan untuk menyalurkan bantuan keperluan asas kepada veteran dan tanggungan yang memerlukan.
Kerajaan juga telah menambah baik faedah hilang upaya termasuk peluasan kelayakan pencen hilang upaya, peningkatan elaun pelajaran anak serta kenaikan elaun layanan sentiasa daripada RM440 kepada RM1,500 sebulan. Bagi tahun 2026, semua penerima PJM turut menerima Penghargaan Khas Pingat Jasa Malaysia sebanyak RM500 secara sekali bayar, selain Bantuan Khas Kewangan RM250 kepada setiap veteran.
Langkah-langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan jaminan kebajikan dan kesejahteraan veteran ATM. Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia bukan sekadar pengiktirafan simbolik, tetapi lambang penghormatan negara kepada wira-wira yang telah berkorban demi keamanan dan kedaulatan tanah air.
Turut hadir ialah AKS Operasi & Strategi MTU, Mejar Jeneral Dato' Haji Saharuddin bin Mansor TUDM, Ketua Staf AM Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (PMBTD), Mejar Jeneral Dato' Norsham bin Md Tap, Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Dato' Haji Semaon bin Haji Marjuki, Ahli Lantikan MVK, Kapten Datuk Sharuddin bin Haji Omar (Bersara) Mejar Jeneral Dato' Muhammad Mudzamir Ong bin Abdullah TUDM (B) dan Lt. Kol Azwadi bin Jamian (Bersara), Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM
Bahasa
English 