Skip to main content

faq

FAQ

hubungi

Contact Us

maklumbalas

Feedback

peta

Site Maps

News Archive
DR. WAN AZIZAH SANTUNI VETERAN ATM MELALUI PROGRAM ZIARAH KASIH KEMPEN TABUNG PAHLAWAN

KUALA LUMPUR, 6 MEI 2026  - Penaung Kempen Tabung Pahlawan (KTP), YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail hari ini menyantuni veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta balu veteran yang memerlukan menerusi Program Ziarah Kasih-KTP di sekitar Bandar Tun Razak, di sini. Program anjuran Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) itu turut disertai Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon Haji Marjuki, yang bersama rombongan turun padang meninjau sendiri keadaan kebajikan veteran dan keluarga mereka. Program tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan JHEV ATM dalam memperkukuh agenda kebajikan veteran melalui pendekatan menyantuni golongan berkenaan secara langsung. Sepanjang program, rombongan telah mengadakan ziarah ke lima kediaman veteran dan balu veteran di PPR Desa Tun Razak, Cheras, bagi bertanya khabar serta meneliti keadaan kesihatan, kebajikan dan keperluan semasa penerima. Antara yang diziarahi termasuk balu kepada mendiang anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja, balu veteran Tentera British serta beberapa veteran daripada Rejimen Askar Melayu Diraja, Tentera Udara Diraja Malaysia dan Kor Ordnans Diraja yang kini berdepan cabaran kesihatan serta kekangan sumber pendapatan. Program itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan melalui JHEV ATM dalam memastikan kebajikan warga veteran sentiasa diberi perhatian selain memperkukuh peranan Kempen Tabung Pahlawan sebagai platform menghargai jasa dan pengorbanan mereka. Inisiatif tersebut juga selari dengan usaha Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam memperkasa kesejahteraan veteran ATM, khususnya di bawah Transformasi Kesejahteraan Veteran ATM serta Amanat Tahun Baharu Menteri Pertahanan. 8 Fokus Kementerian Pertahanan; Fokus Ketujuh – Terus Memperkasa Kesejahteraan Veteran ATM Sebagai Penghargaan Jasa dan Pengorbanan Sepanjang Perkhidmatan Mereka. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM, Lt Kol (B) Azwadi Jamian; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Puan Siti Nor Hasma Mat Isa serta wakil Persatuan Veteran ATM Cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Total User Account

3659356
Today: 675
Total: 3,659,356

facebook
tiktok
instagram
youtube
location
footer-logo

One Stop Centre (OSC) MAFVAD

Level G, Menara TH Perdana, 1001 Jalan Sultan Ismail, 50250 Kuala Lumpur

Tel: 03-2050 8000
Call Centre: 03-2697 6600

Head Office  Branches


Copyright 2024 © Malaysian Armed Forces Veteran Affairs Department