KUALA LUMPUR, 7 JUN 2026 - Program My Warriors Run (MWR) 2026 yang berlangsung di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berjaya menghimpunkan lebih 3,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat dalam satu acara larian amal bersempena Kempen Tabung Pahlawan (KTP) 2025/2026. Program anjuran Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) itu bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme serta menghargai jasa dan pengorbanan para perwira negara. Majlis disempurnakan oleh Penaung Kempen Tabung Pahlawan, YABhg. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah binti Dato’ Dr. Wan Ismail. Turut hadir ialah Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Fadlun bin Mak Ujud; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Azhan bin Haji Md Othman; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan bin Aris; Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki, serta pegawai kanan Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia. Acara itu disertai masyarakat awam termasuk pelajar sekolah, mahasiswa institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS), penjawat awam, wakil sektor swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mencerminkan sokongan padu rakyat terhadap usaha memperkasa kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Selain mengumpul dana bagi Kempen Tabung Pahlawan, program berkenaan turut menjadi platform memperkukuh solidariti masyarakat dalam menghargai jasa bakti veteran ATM yang telah berkorban mempertahankan kedaulatan negara. Pada masa sama, ia menggalakkan pembudayaan gaya hidup sihat menerusi penyertaan individu, keluarga, komuniti dan sektor korporat. Para peserta melalui laluan larian sejauh kira-kira tujuh kilometer di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur melibatkan Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang, Jalan P. Ramlee, Jalan Dang Wangi dan Jalan Tuanku Abdul Rahman sebelum menamatkan larian di Dataran DBKL. Program turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan termasuk pameran aset Angkatan Tentera Malaysia, pameran rakan strategik, kaunter bergerak perkhidmatan JHEV ATM, sesi senamrobik serta cabutan bertuah. Penganjuran My Warriors Run 2026 membuktikan semangat penghargaan terhadap para perwira negara terus subur dalam kalangan rakyat Malaysia, di samping mengukuhkan hubungan antara masyarakat dan komuniti veteran ATM. Selaras dengan slogan “Dari Wira, Untuk Wira”, program itu bukan sekadar acara larian, tetapi simbol penghargaan rakyat Malaysia terhadap jasa dan pengorbanan para perwira negara.
Bahasa
English 