Sungai Asap, 1 Mei 2026 - Program Veteran Madani Angkatan Tentera Malaysia (PVM ATM) yang telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly Zahari diteruskan pada hari kedua pelaksanaannya dengan pengisian utama lawatan kebajikan ke kediaman veteran ATM di sekitar Sungai Asap, Sarawak. Program ini turut disertai oleh Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM), Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki bersama delegasi dalam usaha memperkukuh agenda kebajikan veteran ATM. Program yang bermula seawal jam 9.30 pagi itu menyaksikan delegasi bergerak dari penginapan menuju ke beberapa lokasi penempatan veteran bagi meninjau keadaan semasa serta menyantuni golongan tersebut secara lebih dekat. Sepanjang program berlangsung, sebanyak tujuh buah kediaman veteran telah diziarahi melibatkan pelbagai latar belakang perkhidmatan termasuk anggota berpencen dan tidak berpencen. Antara veteran yang disantuni ialah Mathew Lawai, Stanley Usek, Tuba Bujuang, dan Uwen Bisau.
Selain itu, program turut merangkumi lawatan ke kediaman Razali Bin Anting, Simon Ebit serta Apin Aing yang masing-masing menerima kunjungan bagi tujuan penilaian kebajikan serta penyampaian sumbangan. Pelaksanaan program ini memberi fokus kepada aspek kebajikan dan kesejahteraan veteran termasuk mengenal pasti keperluan semasa seperti kesihatan, sumber pendapatan serta sokongan bantuan yang bersesuaian. Sebahagian daripada veteran yang dilawati turut mempunyai isu kesihatan seperti darah tinggi, kolesterol dan penyakit kronik yang memerlukan perhatian berterusan. Pelaksanaan PVM ATM ini jelas mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan dalam memastikan kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia sentiasa terpelihara serta tidak terpinggir, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI. Turut hadir , Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon Haji Marjuki; Panglima Briged Kesembilan Infantri Malaysia, Brig Jen Dato Jafri bin Sulaiman, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM, Lt Kol (B) Azwadi Jamian; wakil serta wakil Persatuan Veteran ATM cawangan Negeri Sarawak.
Bahasa
English 