
KUNJUNGAN HORMAT KETUA PENGARAH JHEV ATM KE ATAS YAB MENTERI BESAR PERLIS
KANGAR, 8 MEI 2025 - Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran, Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM), YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Perlis, YAB Tuan Mohd. Shukri bin Ramli, yang diadakan di Pejabat Menteri Besar Perlis, Kangar pada Khamis.
Selain bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim serta menyantuni diantara satu sama lain, kunjungan ini turut bertujuan untuk memperkenalkan sejarah penubuhan serta fungsi utama JHEV ATM, terkait memperkukuh hubungan strategik dengan Kerajaan Negeri Perlis dalam usaha memperjuangkan kebajikan Veteran ATM.
Dalam pertemuan tersebut juga, YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon Marjuki telah menjelaskan pengenalan sejarah JHEV ATM ditubuhkan iaitu pada 11 Oktober 2000 dan mula beroperasi secara rasmi pada 1 Januari 2001 di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia. Penubuhan jabatan ini merupakan satu langkah penting dalam membantu para pesara ATM meningkatkan taraf sosioekonomi dan meneruskan kehidupan yang lebih sejahtera selepas tamat perkhidmatan.
Kunjungan hormat ini turut menzahirkan komitmen berterusan JHEV ATM dalam memelihara kebajikan para veteran ATM serta memastikan jasa dan pengorbanan mereka sentiasa dihargai oleh masyarakat dan kepimpinan negara di semua peringkat.
Turut hadir ialah Pengarah JHEV ATM Cawangan Negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, Mejar Mohd. Izmer bin Ghazali TUDM, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM, Lt. Kol Azwadi bin Jamian (Bersara) dan Pengarah Bahagian Kerjaya Sosioekonomi (BKS) JHEV ATM Puan Irma Jasmin Ishak.
Kunjungan hormat ini diakhiri dengan menandatangani Buku Lawatan dan memberi Cendera Kenangan kepada YAB Menteri Besar Perlis.