
LAWATAN CAKNA KETUA PENGARAH JHEV ATM KE DAERAH KUALA PILAH DAN DAERAH RANTAU NEGERI SEMBILAN
NEGERI SEMBILAN, 16 FEBRUARI 2025 - Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM), YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki telah mengadakan Lawatan Cakna ke daerah Kuala Pilah dan Rantau, Negeri Sembilan pada Ahad dalam usaha memperkukuhkan hubungan serta meninjau perkara-perkara berkaitan kebajikan para veteran ATM di kawasan tersebut. Lawatan ini juga bertujuan untuk memastikan kebajikan para veteran ATM sentiasa terpelihara selain mendengar sendiri permasalahan yang dihadapi oleh mereka. Program ini memberi peluang kepada JHEV ATM untuk menyalurkan maklumat terkini mengenai inisiatif dan bantuan yang boleh dimanfaatkan oleh para veteran ATM dan keluarga mereka. Ketua Pengarah JHEV ATM YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Semaon Marjuki telah melawat beberapa keluarga veteran ATM yang memerlukan perhatian khusus iaitu di lima buah kediaman veteran di Kuala Pilah yang mengalami pelbagai masalah kesihatan sakit kronik seperti strok dan ada juga yang menguruskan anak Orang Kurang Upaya (OKU). Mereka adalah Encik Nasir bin Said, Encik Musa bin Dahalan, Puan Minan binti Johan (Balu kepada Allahyarham Abdullah binti Mihat), Encik Zakaria bin Karib dan Encik Rohimin bin Khamis. Dalam kunjungan tersebut, rombongan telah mendengar sendiri keluhan serta berkongsi langkah-langkah yang boleh diambil bagi meningkatkan taraf hidup veteran. Antara kandungan yang dibincangkan termasuk lah bantuan perubatan, kebajikan serta peluang latihan dan pekerjaan bagi veteran ATM yang berkelayakan. Sementara itu di daerah Rantau, seramai 5 veteran ATM turut ditemui bagi berkongsi maklumat serta penyelesaian dalam menghadapi cabaran meliputi beberapa aspek termasuklah ekonomi serta bantuan sokongan yang diperlukan. Mereka adalah Encik Azuan bin Junid, Puan Zahrah binti Kamaruzaman (Balu kepada Allahyarham Abu Samah bin Hamzah), Encik Idris bin Hasan, Encik Mohd Idris bin Abd Rahman dan Encik Mohd. Nasir bin Hussain. JHEV ATM bertekad untuk terus mendekati para veteran ATM dengan tampil menyediakan perkhidmatan pelbagai inisiatif serta program kebajikan demi memastikan kesejahteraan mereka sentiasa terpelihara. Lawatan Cakna seperti ini akan diteruskan ke daerah-daerah lain juga selepas in bagi memastikan semua veteran ATM mendapat perhatian yang sewajarnya. Turut hadir semasa lawatan tersebut ialah Lt Kol Azwadi bin Jamian, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM dan Pengarah JHEV ATM Cawangan Negeri Sembilan & Melaka Mejar Muhammad Zarifi bin Haji Tumin.