MAJLIS PENYAMPAIAN SIJIL TAMAT KURSUS DIGITAL MARKETING UNTUK VETERAN ATM
KAJANG, 24 NOVEMBER 2024 - Bahagian Kerjaya dan Sosioekonomi (BKS) Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM hari ini telah menghadiri Majlis Penyampaian Sijil Tamat Kursus Digital Marketing Untuk Veteran ATM. Kursus ini dianjurkan oleh Syarikat Devnet Global Resources (Coach Devi) dengan dibiayai sepenuhnya oleh All Party Parliamentary Group Malaysia (APPGM), sebuah pertubuhan yang bernaung di bawah Parlimen Malaysia menggunakan peruntukan daripada Kementerian Kewangan.
Kursus ini telah bermula sejak 8 September 2024 dan sudah dilaksanakan setiap hari Ahad sebanyak 12 modul dan berakhir pada 24 November 2024. Seramai 7 orang Veteran ATM yang terdiri daripada 5 lelaki dan 2 wanita telah menyertai kursus ini. Kesemua mereka telah berjaya menamatkan kursus ini dengan cemerlang. Sesi penyerahan sijil kepada peserta kursus telah disempurnakan oleh Puan Irma Jasmin binti Ishak, Pengarah Bahagian Kerjaya dan Sosioekonomi (BKS) JHEV ATM.
Kursus ini telah berjaya meraih kejayaan di kalangan pesertanya sepanjang penglibatan dengan syarikat penyedia perkhidmatan kursus. Antara kejayaan tersebut adalah PW1 Amir bin Ismail (B) usahawan Veteran ATM yang mengusahakan produk Rempeyek Kak Cun dimana produk beliau telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa serta mendapat persijilan halal daripada JAKIM.
Kejayaan hasil daripada kursus ini turut dirasai oleh Leftenan Noratikah binti Mahadzir (B), Veteran Tidak Berpencen yang mengusahakan produk kambing perap jenama Mumieka di mana hasil jualan beliau sentiasa meningkat dan mendapat permintaan yang tinggi dari semasa ke semasa.
Sepanjang kursus ini berlangsung semua Veteran ATM yang terlibat telah diberikan ilmu dan pemantauan berterusan berkenaan copywriting menggunakan ChatGPT, design menggunakan Canva, modul Tik Tok bagi pemasaran produk, modul editing video, pembinaan website perniagaan, penghasilan content video berkesan, pemantauan jualan produk secara mingguan serta pengurusan kewangan. Para peserta juga turut dibekalkan dengan peralatan bagi menyediakan kandungan media sosial serta akses kepada tools editing seperti capcut.
Dalam pada itu, setiap peserta juga diwajibkan untuk mendaftar perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi memastikan komitmen mereka terus serius dalam perniagaan. Di akhir majlis, semua peserta diberikan hardware seperti tripod, microphone, autoface tracking camera dan lain-lain lagi.
Berdasarkan temubual yang dilaksanakan bersama Veteran ATM, rata-ratanya mereka sangat gembira dengan pelaksanaan kursus ini dan meminta BKS JHEV ATM untuk melaksanakan lebih banyak kursus sebegini. Ini kerana teknik hands on yang dipraktikkan oleh Coach Devi serta pemantauan berterusan setiap minggu berjaya memberi impak kepada pengetahuan mereka termasuk meningkatkan jualan mereka setiap minggu.
Mereka juga sudah mahir mempromosikan perniagaan mereka melalui platform media sosial Tik Tok dan WhatsApp Business serta mampu menggunakan software dengan berkesan.
JHEV ATM berharap agar penglibatan Veteran ATM dalam kursus ini dapat membuka peluang kerjaya kedua dalam bidang keusahawanan kepada mereka. JHEV ATM juga komited untuk terus menjalinkan kolaborasi strategik bersama agensi kerajaan dan syarikat swasta seperti Syarikat Devnet Global Resources dan APPMG dalam mengenalpasti peluang latihan keusahawanan berkualiti untuk Veteran ATM.
Penganjuran kursus ini juga telah mendapat perhatian sekaligus sokongan daripada pihak pejabat YB Timbalan Menteri Pertahanan yang berhasrat untuk berjumpa dengan pihak syarikat bagi pelaksanaan kursus seperti ini pada masa akan datang.