
PRIHATIN TIADA NOKTAH : PVM MENYANTUNI WIRA NEGARA DI SENDAYAN, NEGERI SEMBILAN
SEDAYAN, 25 JULAI 2025 - Program Mini Peduli Veteran Madani (PVM) Timbalan Menteri Pertahanan anjuran Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) diteruskan di Sendayan, Negeri Sembilan dengan kehadiran Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly bin Zahari bagi menzahirkan keprihatinan dan penghargaan kepada para Veteran ATM yang memerlukan.
Program ini menyaksikan lawatan ziarah kasih ke lima (5) buah kediaman Veteran ATM sekitar Taman Bukit Sendayan dan Taman Gadong Jaya. Lawatan dimulakan dengan kunjungan ke rumah veteran pertama, Encik Osman bin Abdul Kadis yang menghidap pelbagai masalah kesihatan termasuk sakit buah pinggang tahap 5, masalah jantung serta penglihatan yang terhad.
Turut diziarahi adalah:
1. Encik Norzamri bin Idris, yang mengalami _minor stroke_ dan kehilangan kaki akibat komplikasi diabetes.
2. Encik Mohd Hisham bin Basal, yang terlantar akibat ketumbuhan dalam kepala.
3. Encik Kemri bin Ali, yang mempunyai anak istimewa (OKU) - Masalah Pendengaran.
4. Encik Ahmad Johari bin Abdul Rahman, yang mempunyai anak istimewa (OKU) - Masalah Pembelajaran.
Kesemua Veteran ATM yang dikunjungi merupakan Veteran Berpencen dengan latar belakang perkhidmatan antara 21 hingga 24 tahun dan turut menerima pelbagai bentuk bantuan daripada kerajaan termasuk Bantuan Insentif Awal, Bantuan Khas Aidilfitri dan Bantuan Peralatan Perubatan.
Program ini turut melibatkan penyampaian sumbangan keperluan asas dan perubatan seperti kerusi roda, lampin pakai buang dan katil hospital. Inisiatif ini selaras dengan aspirasi Kementerian Pertahanan untuk memastikan kebajikan Veteran ATM terus terpelihara dan dihargai.
Lawatan PVM Sendayan bukan sekadar kunjungan simbolik, malah menjadi wadah mendekati Veteran ATM secara langsung, memahami keperluan mereka serta merapatkan hubungan antara kerajaan dan warga Veteran ATM yang telah banyak berkorban demi kedaulatan negara.
Turut hadir dalam lawatan kali ini adalah Pengarah JHEV ATM Cawangan Melaka dan Negeri Sembilan, Mej Muhammad Zarifi bin Haji Tumin, Penolong Pengarah Bahagian Dasar, Mej Muhaizam bin Mustapa Delmi, Pengurus Besar DVET Holding Sdn. Bhd., Lt Muhammad Faris bin Pakri (B), Timbalan Yang DiPertua PVATM Negeri Sembilan, Encik Hairul Anuar bjn Shafiai dan wakil-wakil Persatuan Veteran ATM Negeri Sembilan.