Skip to main content

faq

FAQ

hubungi

Contact Us

maklumbalas

Feedback

peta

Site Maps

News

News

PROGRAM ZIARAH KASIH-KEMPEN TABUNG PAHLAWAN SSANTUNI VETERAN ATM DI SANDAKAN

SANDAKAN, 19 JULAI 2026 - Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) hari ini meneruskan Siri Program Ziarah Kasih-Kempen Tabung Pahlawan (KTP) di sekitar Sandakan, Sabah dengan menyantuni lima keluarga veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen dan waris mereka. Program yang memasuki hari kedua itu diketuai Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon Haji Marjuki sempena lawatan kerja rasmi beliau ke negeri Sabah. Lawatan kali ini melibatkan kediaman veteran dan waris di Taman Poh Hing, Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Harmoni, Kampung Gas dan Taman Mesra. Antara yang menerima kunjungan ialah waris Allahyarham Ibrahim Harun, Patoni Nasuka, Asim Taing, Sahak Brahim serta Nanang Karim, balu kepada Allahyarham Ardat Tusin. Pada program itu, sumbangan kebajikan disampaikan kepada semua penerima sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan mereka kepada negara. Hasil lawatan turut mendapati keluarga Nanang memerlukan bantuan kerusi roda jenis tugas berat (heavy duty), manakala beberapa penerima lain memerlukan perhatian lanjut melibatkan peralatan perubatan, pemantauan kesihatan dan kebajikan serta bantuan sara hidup. Sepanjang ziarah berkenaan, Dato’ Semaon Marjuki turut mengambil kesempatan bertanya khabar dan meninjau sendiri keadaan kesihatan, kehidupan serta keperluan semasa veteran dan waris bagi memastikan bantuan yang diperlukan dapat disalurkan mengikut kelayakan. Program Ziarah Kasih-KTP merupakan antara inisiatif berterusan JHEV ATM dalam memastikan kebajikan veteran ATM terus terpelihara di samping memperkukuh hubungan antara jabatan itu dengan golongan veteran dan waris melalui pendekatan turun padang. Kesejahteraan Veteran ATM terus diperkasa menerusi Teras 7 Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026–2030 yang menggariskan 4 strategi dan 8 inisiatif bagi memastikan kebajikan Veteran ATM sentiasa diberi perhatian. Pendekatan menyeluruh berteraskan Whole of Government dan Whole of Society akan memperkukuh usaha meningkatkan taraf hidup Veteran ATM sebagai menghargai jasa serta pengorbanan mereka kepada negara. Dalam pada itu, orang ramai turut dialu-alukan untuk menyokong Kempen Tabung Pahlawan (KTP) melalui pelbagai kaedah termasuk sumbangan dalam talian ke *Akaun Tabung Rayuan Hari Pahlawan di Affin Islamic Bank Berhad (1059 5000 3201)*, pembelian bahan promosi kempen seperti kemeja-T, mug, aksesori dan cenderahati, serta sumbangan terus ke tabung fizikal KTP yang ditempatkan di stesen minyak BHP, lobi Kementerian Pertahanan, jabatan kerajaan dan agensi swasta serta pada majlis-majlis KTP yang dianjurkan oleh JHEV ATM dan Kementerian Pertahanan. Orang ramai juga boleh mengambil bahagian secara langsung dalam pelbagai aktiviti amal KTP yang dianjurkan JHEV ATM antaranya pertandingan memancing amal, pertandingan golf amal, larian amal dan program-program lain bagi membantu menjayakan usaha kebajikan veteran ATM. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM, Lt Kol Azwadi Jamian (B), Pengarah JHEV ATM Sabah Mejar Ismail Merah serta wakil Persatuan Veteran ATM Cawangan Negeri Sabah

Total User Account

3659319
Today: 638
Total: 3,659,319

facebook
tiktok
instagram
youtube
location
footer-logo

One Stop Centre (OSC) MAFVAD

Level G, Menara TH Perdana, 1001 Jalan Sultan Ismail, 50250 Kuala Lumpur

Tel: 03-2050 8000
Call Centre: 03-2697 6600

Head Office  Branches


Copyright 2024 © Malaysian Armed Forces Veteran Affairs Department