Skip to main content

faq

FAQ

hubungi

Contact Us

maklumbalas

Feedback

peta

Site Maps

News

News

PENGORBANAN DAN JASA DIIKTIRAF : 965 VETERAN ATM TERIMA PINGAT JASA MALAYSIA (PJM)

KUANTAN, 15 JULAI 2025 - Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Dato' Pahlawan Zahani bin Hj Zainal Abidin TUDM, telah menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 965 orang Veteran ATM, balu serta wakil waris dan Veteran Kurang Upaya di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan Pahang dekat sini hari ini.
Majlis penganugerahan PJM telah dikoordinasikan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM yang telah bermula sejak 3 Mac 2004. Penganugerahan pingat ini merupakan pengiktirafan kepada anggota tentera di atas sifat keperwiraan, keberanian, pengorbanan dan kesetiaan mereka semasa berhadapan dengan ancaman pengganas komunis suatu ketika dahulu.
Kejayaan bekas anggota tentera membanteras ancaman komunis selain memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan seperti berikut, telah melayakkan mereka dianugerahkan dengan PJM. Diantaranya adalah;
a. Telah berkhidmat atau terlibat dalam operasi secara berterusan selama 3 bulan dan ke atas atau telah bertugas secara langsung tidak kurang dari 6 bulan di mana-mana pasukan atau formasi ATM bagi tempoh dari 1 Januari 1969 hingga 2 Disember 1989 bagi operasi menentang Parti Komunis Malaya (PKM) atau,
b. Telah berkhidmat atau terlibat dalam operasi secara berterusan selama 3 bulan dan ke atas atau telah bertugas secara tidak langsung tidak kurang dari 6 bulan di mana-mana pasukan atau formasi ATM bagi tempoh 1 Januari 1969 hingga 17 Oktober 1990 bagi operasi menentang Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) atau,
c. Telah terbunuh, cedera atau menjadi kurang upaya disebabkan oleh tugas menentang pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) bagi tempoh 1 Januari 1969 hingga 2 Disember 1989 atau pengganas Parti Komunis Kalimantan (PKKU) bagi tempoh 1 Januari 1969 hingga 17 Oktober 1990.
Kementerian Pertahanan sentiasa prihatin dengan nasib dan hal ehwal Veteran ATM. Malah, aspek kesejahteraan Veteran ATM telah menjadi salah satu teras utama dalam pelan strategik kementerian ini.
Sehubungan itu, JHEV ATM yang diketuai oleh Ketua Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki akan meneruskan skim-skim bantuan kebajikan, perubatan, pendidikan untuk anak-anak Veteran ATM dan inisiatif perumahan sedia ada serta menambah baik perkhidmatan dalam agenda memperkasakan kebajikan Veteran ATM disamping akan memberi keutamaan dalam usaha untuk mencari pendekatan terbaik dalam meningkatkan taraf kehidupan Veteran ATM khususnya dalam keadaan ekonomi yang agak mencabar kini.
Penganugerahan ini merupakan kurniaan atas sikap keperwiraan dan pengorbanan anggota tentera dalam melaksanakan kewajipan kepada negara. Sesuai dengan tarafnya sebagai "Campaign Medal" yang berlandaskan pengorbanan dan perjuangan yang tidak berbelah bahagi semasa darurat dahulu, PJM telah dimartabatkan sebagai pingat yang lebih kanan dalam susunannya berbanding dengan anugerah-anugerah yang sama kelas dengannya seperti Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-bangsa Bersatu (PNBB) dan Pingat Perkhidmatan Setia (PPS).
Pengurniaan PJM ini adalah refleksi terhadap suatu pengorbanan yang amat besar, yang diiktiraf oleh rakyat dan negara dalam menggalas tanggungjawab menjaga kedaulatan dan keselamatan negara dengan penuh taat setia. Justeru itu, masyarakat amnya haruslah menghargai jasa dan pengorbanan para pahlawan negara sehingga negara ini dapat mengecapi keamanan yang sama-sama kita nikmati pada saat ini.
Turut hadir ialah Pemangku Panglima Wilayah Laut 1, Laksamana Pertama Abd Halim bin Kamarudin, Panglima 4 Bgd (Mek), Brigedier Jeneral Wan Mohd Faizal Shahrin bin W. Mohamad Fablillah, Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Dato' Haji Semaon bin Haji Marjuki, Timbalan Ketua Pengarah JHEV ATM, Encik Sophian Isswandy bin Ismail serta wakil-wakil Persatuan Veteran ATM Negeri Pahang.

LAWATAN CAKNA KETUA PENGARAH JHEV ATM DI SEKITAR KUALA TERENGGANU

KUALA TERENGGANU, 10 JULAI 2025 - Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM), YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki, meneruskan komitmen dalam menjaga kebajikan para veteran menerusi pelaksanaan Program Lawatan Cakna di sekitar daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu pada hari Khamis.
Lawatan ini melibatkan aktiviti ziarah ke kediaman enam orang veteran ATM yang memerlukan perhatian serta bantuan. Antara veteran yang terlibat ialah T 80843 Che Wan Jusoh bin Chik di No. 8A, Kampung Kepah, Kuala Berang; T 701378 Salehuddin bin Ahmad di Sungai Galong, Tasik Kenyir; 129627 Omar bin Ismail di No. 1082G, Jalan Sekolah Kebangsaan Chendering, 21080 Kuala Terengganu; T 651937 Zainal Aripin bin Mamat di Lot 16721, Kampung Telaga Daing, Seberang Takir, Kuala Nerus; T 1049419 Ab Rani bin Ab Rahman di A436, Lorong Kapur, Kampung Bharu, Seberang Takir, Kuala Nerus; dan T 7386 Mohd Nor bin Hj Osman di Lot 1283, Belakang Stadium Negeri, Jalan Sultan Mahmud, 20400 Kuala Terengganu.
Dalam setiap lawatan tersebut, pihak JHEV ATM turut menyampaikan sumbangan bantuan keperluan asas serta bantuan kebajikan kepada para veteran yang diziarahi. Inisiatif ini bukan sahaja membantu meringankan beban mereka, malah menjadi platform penting kepada pihak JHEV ATM untuk menilai secara langsung tahap kesejahteraan dan keperluan sebenar veteran serta waris mereka.
Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon dalam kenyataannya berkata bahawa pendekatan turun padang sebegini adalah penting bagi memastikan tiada veteran ATM atau waris mereka yang tercicir daripada perhatian dan bantuan. “Kita mahu pastikan setiap individu yang pernah berkhidmat untuk negara terus dibela dan dihargai,” katanya.Beliau turut menegaskan bahawa program seumpama ini dapat mengukuhkan kerjasama antara JHEV ATM dan komuniti veteran setempat, sekali gus membuktikan bahawa kerajaan sentiasa prihatin dan menghargai jasa para wira negara, sama ada yang masih hidup mahupun yang telah tiada.
Turut hadir dalam lawatan ini ialah Pengarah JHEV ATM Cawangan Negeri Kelantan & Terengganu, Mejar Wan Abdullah bin Wan Abd Samad TUDM; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM, Lt. Kol Azwadi bin Jamian (Bersara); serta pegawai dan staf JHEV. Lawatan ini turut disertai oleh Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan EXTEN Malaysia Negeri Terengganu (PEKEEM) serta wakil dari Persatuan Veteran ATM (PVATM) Hulu Terengganu.

SESI DIALOG KETUA PENGARAH JHEV ATM BERSAMA PERSATUAN VETERAN ATM NEGERI TERENGGANU

KUALA TERENGGANU, 9 JULAI 2025 - Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) telah mengadakan Sesi Dialog Bersama Persatuan Veteran ATM dalam Negeri Terengganu bagi usaha mengeratkan hubungan silaturrahim serta memperkukuhkan jaringan komunikasi antara kedua-dua pihak.
Majlis ini diadakan sempena Lawatan Kerja Rasmi Ketua Pengarah JHEV ATM, YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki ke Negeri Terengganu.
Beliau menegaskan bahawa komitmen berterusan dalam menjaga kebajikan, kesihatan dan sosioekonomi veteran ATM menjadi fokus utama jabatan dan kementerian selama ini. Kementerian Pertahanan sentiasa prihatin dengan nasib dan hal ehwal yang berkaitan dengan Veteran ATM dengan memastikan kesejahteraan mereka terpelihara melalui Transformasi Kesejahteraan Veteran ATM dalam Pelan Strategik Mindef 2021 – 2025.
Usaha memperkasa veteran ATM juga akan diperkemaskan lagi melalui inisiatif-inisiatif yang telah digariskan di dalam Amanat Perutusan Tahun Baharu 2025 Menteri Pertahanan: Fokus 4 – Memperkukuh Ekosistem Kesejahteraan warga pertahanan.
Setakat 30 Jun 2025, lebih RM 158.8 juta telah dibelanjakan untuk pelbagai skim bantuan melibatkan 52,971 veteran, termasuk Bantuan Sara Hidup (BSH), perubatan, persekolahan termasuklah bantuan kemasukan ke IPT dan bencana alam. Seramai 32,544 veteran telah menerima manfaat BSH, dengan kadar bantuan dinaikkan kepada RM500 sebulan sejak 2024. Ketua Pengarah JHEV ATM YBhg. Mej Jen Dato’ Semaon Marjuki berkata demikian semasa merasmikan Sesi Dialog Bersama Persatuan Veteran ATM yang diadakan dekat sini hari ini.
Kempen Tabung Pahlawan (KTP) turut menunjukkan pencapaian membanggakan, dengan kutipan melebihi RM1 juta setakat pertengahan tahun ini. Peruntukan kerajaan kepada JHEV juga meningkat kepada RM280 juta bagi tahun 2025, peningkatan 5.19% berbanding tahun lalu, ujar beliau lagi.
Dalam aspek kerjaya, seramai 458 veteran telah dilantik sebagai Renjer Komuniti, dan 1,000 lagi disasarkan menyertai program PROWIRA tahun ini. Aspek terkait keusahawanan turut diperkukuh menerusi kerjasama dengan PERNAS, Agrobank dan Affin Islamic Bank Berhad. Bagi inisiatif perumahan veteran, sebanyak 42 rumah bina baharu dan 268 baik pulih telah diluluskan. JHEV ATM juga menyasarkan pemberian Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada baki 72,383 veteran ATM yang layak dalam tempoh tujuh tahun akan datang.
“Veteran adalah tonggak negara. Segala pandangan dan keperluan anda akan terus menjadi keutamaan kami,” tambahnya lagi. Turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM, Lt Kol Azwadi bin Jamian (Bersara), dan Pengarah JHEV ATM Cawangan Negeri Kelantan dan Terengganu, Mejar Wan Abdullah bin Wan Abd Samad TUDM.
Majlis sesi dialog adalah merupakan platform interaksi yang efektif antara pihak JHEV ATM dengan Veteran ATM, bertujuan untuk membincangkan pelbagai isu, cabaran atau peluang dalam sesuatu bidang. Melalui dialog terbuka, pelbagai masalah atau isu boleh dikenalpasti dan dibincangkan secara kolektif. Ini membolehkan penyelesaian yang lebih praktikal dan inklusif dalam menangani permasalahan yang dihadapi oleh golongan veteran.

KUNJUNGAN HORMAT KETUA PENGARAH JHEV ATM KEPADA YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI MERANGKAP MENTERI PERALIHAN TENAGA DAN TRANSFORMASI AIR (PETRA)

PUTRAJAYA, 7 JULAI 2025 - Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM), YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki hari ini telah mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Perdana Menteri II, YAB Dato' Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, di Pejabat Aras 17, Menara PETRA, Putrajaya.
Kunjungan hormat ini antara lain bertujuan untuk memperkenalkan serta menghuraikan fungsi dan peranan utama JHEV ATM merangkumi pelaksanaan tugas, tanggungjawab serta skim-skim kebajikan termasuklah BSH, peluang peluang terkait Sosioekonomi veteran ATM, Bantuan Perubatan, Bantuan Pendidikan Anak-anak, Inisiatif Perumahan Veteran, Faedah Hilang Upaya (FHU) yang dikelolakan oleh jabatan kepada YAB Timbalan Perdana Menteri.
Selain itu, pertemuan ini juga menjadi platform kepada perbincangan menyentuh mengenai peranan JHEV ATM meliputi pentadbiran di negeri-negeri termasuk Sabah dan Sarawak sebagai agensi utama dalam menjaga kebajikan Veteran ATM, termasuk penyaluran pelbagai bantuan, pembangunan kerjaya, sokongan sosioekonomi, dan pengurusan skim-skim bantuan kebajikan bagi memastikan kesejahteraan golongan veteran sentiasa diberi perhatian yang sewajarnya.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM, Lt Kol Azwadi bin Jamian (Bersara), dan Puan Irma Jasmin binti Ishak, Pengarah Bahagian Kerjaya dan Sosioekonomi JHEV ATM.
Kunjungan ini diharap dapat memperkukuh hubungan kerjasama strategik antara JHEV ATM dan pimpinan negara dalam memastikan agenda kebajikan veteran ATM terus diberi keutamaan serta disokong dengan dasar dan inisiatif yang inklusif serta mampan.
Kementerian Pertahanan sentiasa prihatin dengan nasib dan hal ehwal yang berkaitan dengan Veteran ATM dengan memastikan kesejahteraan mereka terpelihara melalui Transformasi Kesejahteraan Veteran ATM dalam Pelan Strategik Mindef 2021 – 2025.
Usaha memperkasa veteran ATM juga akan diperkemaskan lagi melalui inisiatif-inisiatif yang telah digariskan di dalam Amanat Perutusan Tahun Baharu 2025 Menteri Pertahanan: Fokus 4 – Memperkukuh Ekosistem Kesejahteraan warga pertahanan.

KUNJUNGAN HORMAT SYARIKAT DATASONIC TECHNOLOGIES SDN BHD KEPADA KETUA PENGARAH JHEV ATM

KUALA LUMPUR, 3 JULAI 2025 - Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM), YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki, telah menerima kunjungan hormat daripada Syarikat Datasonic Technologies Sdn Bhd dekat sini hari ini. Syarikat Datasonic Technologies diketuai oleh Dato’ Syahril Abdullah, Puan Safinah Hassan serta Encik Suhailan Safian.

Kunjungan ini memberi tumpuan antara lain kepada perbincangan terkait cadangan pemasangan mesin layan diri (vending machine) di bawah Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) menerusi kategori Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) yang dikelolakan oleh Kementerian Ekonomi.
Inisiatif ini memberi tumpuan kepada usaha pengupayaan golongan miskin tegar, miskin dan B40 agar dapat meningkatkan potensi pendapatan mereka. Pemilihan peserta program akan melalui proses saringan menggunakan sistem eKasih dan data Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi melengkapkan terma dan syarat permohonan.
Datasonic Technologies Sdn Bhd turut membentangkan konsep pelaksanaan inisiatif berkenaan seperti berikut:
1. Kementerian Ekonomi, dengan kerjasama pelbagai pihak, akan menyediakan mesin layan diri bersubsidi kepada golongan sasar (miskin tegar dan B40)
2. Setiap mesin akan diuruskan oleh seorang penerima terpilih
3. Kerajaan akan menanggung kos sewaan mesin selama 24 bulan
4. Latihan serta pemasangan mesin akan disediakan sepenuhnya oleh pihak kerajaan.
Melalui inisiatif ini, usahawan terpilih berpeluang untuk menjana pendapatan secara mampan sekaligus membuka peluang keusahawanan baharu menerusi penggunaan teknologi layan diri sebagai platform sokongan ekonomi.
Kunjungan ini memberi ruang kepada perbincangan awal antara JHEV ATM dan pihak syarikat untuk menilai potensi penglibatan veteran ATM dalam program keusahawanan di bawah IPR, khususnya menerusi pendekatan berteknologi tinggi dan bersasar.

58 VETERAN ATM DIIKTIRAF JASA DAN PENGORBANAN, YB MENTERI PERTAHANAN ANUGERAH PINGAT JASA MALAYSIA

TAWAU, 29 JUN 2025 – Menteri Pertahanan, Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin hari ini telah menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 58 orang veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), balu serta wakil waris dalam satu majlis penuh penghargaan yang berlangsung di Hotel Royal Borneo, Tawau. Majlis ini dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyanjung jasa dan pengorbanan wira negara yang telah mempertahankan tanah air semasa era insurgensi komunis. Menurut beliau, “Pingat ini bukan sekadar simbol penghargaan, tetapi ia melambangkan amanah kita untuk terus menjaga keamanan yang diperjuangkan oleh para veteran ATM.” Dalam kita mengenang jasa perwira negara dan menghayati sejarah perjuangan mereka, kita juga harus mengambil iktibar demi masa depan yang lebih sejahtera. Oleh itu, beliau turut mengambil kesempatan untuk berkongsi beberapa mesej penting dalam konteks pertahanan Sabah dan Malaysia. Pertama, meskipun Sabah kini dalam keadaan aman, kekuatan benteng pertahanan di wilayah ini masih perlu diperkasa secara berterusan. Menteri Pertahanan menegaskan bahawa kerajaan mengambil serius terhadap bentuk ancaman keselamatan yang semakin kompleks dan tidak lagi terhad kepada ancaman tradisional. Kini, kita menyaksikan kemunculan ancaman bukan tradisional seperti serangan siber, ekstremisme ideologi, jenayah rentas sempadan dan penyebaran maklumat palsu. Di Sabah khususnya, risiko ini lebih ketara kerana kedudukannya yang terdedah di sempadan timur negara. Justeru, MINDEF dan ATM komited mengaturgerak pelbagai aset dan operasi ketenteraan secara bersepadu untuk melindungi sempadan Sabah sepanjang masa. Melalui Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan (KPP), penekanan khusus turut diberikan dalam usaha dan strategi menangani ancaman baharu ini. Kehadiran beliau ke Sabah bukan sekadar urusan rasmi, tetapi sebagai simbol jaminan kerajaan bahawa Sabah akan terus selamat dan sejahtera. Kedua, beliau menekankan bahawa usaha mempertahankan keamanan Sabah adalah tanggungjawab bersama antara anggota ATM dan masyarakat sivil, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI. Dalam konteks ini, setiap individu mempunyai peranan dalam pertahanan negara. Oleh itu, penganjuran Karnival CIMIC bertujuan mendidik komuniti setempat tentang kepentingan kerjasama antara masyarakat awam dan ATM dalam pertahanan menyeluruh. Pendekatan “Whole-of-Society” dan “Whole-of-Government” diharap dapat menyumbang kepada pembentukan benteng pertahanan yang lebih kukuh, terutama dengan kemunculan pelbagai bentuk ancaman yang memerlukan strategi baharu dan lebih berkesan. Sebagai langkah konkrit, kawalan sempadan dan perairan Sabah telah diperkukuh melalui kerjasama antara cabang-cabang ATM, ESSCOM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Ketiga, kerajaan akan terus mengangkat kebajikan veteran ATM sebagai agenda utama Kementerian Pertahanan. Kebajikan veteran bukan sahaja memantapkan moral dan mental para anggota, tetapi juga sebagai penghargaan atas jasa mereka. Beliau berkongsi bahawa peruntukan kepada JHEV ATM telah dinaikkan kepada RM280 juta bagi tahun 2025, meningkat daripada RM266 juta pada 2024, RM118 juta pada 2023 dan RM92 juta pada 2022. Peningkatan ini bertujuan membiayai program kebajikan dan kemudahan perubatan veteran, seperti Bantuan Sara Hidup, Bantuan Perubatan, Bantuan Pendidikan Anak-anak, serta Inisiatif Perumahan Veteran. Kerajaan juga telah menambah baik Faedah Hilang Upaya (FHU) dengan pelaksanaan kadar dan cakupan baharu, termasuk peluasan kelayakan Pencen Hilang Upaya (PHU), peningkatan elaun pelajaran dan layanan, serta pemberian Ganjaran Hilang Upaya (GHU) kepada anggota ATM yang cedera semasa bertugas. Dengan penambahbaikan ini, kebajikan veteran yang mengalami kecederaan akan lebih terbela dan diberi perhatian sewajarnya. “Perjuangan tuan-tuan dan puan-puan tidak akan dilupakan. Ia akan terus menjadi inspirasi kepada generasi baharu untuk membina Malaysia yang lebih kuat,” ujar beliau sambil menzahirkan penghargaan kepada semua penerima PJM. Banyak yang boleh dipelajari daripada kisah perjuangan veteran, sama ada tentang keberanian dan disiplin, mahupun semangat juang dan cinta kepada negara. Wira-wira baharu perlu bersedia bukan sahaja di medan tempur, tetapi juga dalam bidang teknologi, keselamatan siber, diplomasi pertahanan dan pengurusan krisis. “Kita mahu anak-anak Sabah dan seluruh Malaysia menjadi pejuang masa hadapan yang sentiasa bersedia mempertahankan tanah air daripada apa jua bentuk ancaman. Kepada semua penerima Pingat Jasa Malaysia, sekali lagi saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih. Kami di Kementerian Pertahanan dan ATM tidak akan berhenti berusaha untuk memastikan keselamatan dan kebajikan veteran terus terpelihara. Dengan semangat Malaysia MADANI, marilah kita terus berganding bahu membina negara yang lebih gagah, aman dan dihormati di mata dunia,” tambah beliau. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg. Datuk Lokman Hakim bin Ali; Panglima Tentera Darat, YBhg. Jeneral Tan Sri Dato' Seri Muhammad Hafizuddeain bin Jantan; Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Dato' Masro bin Kaliwon TUDM; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Tuan Mohd Yani bin Daud; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), YBhg. Datin Roszanina binti Wahab; Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Mohd Sofi bin Md Lepi; Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Dato' Haji Noorrul Azril bin Ariffin; Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Dato' Haji Semaon bin Haji Marjuki; Timbalan Ketua Pengarah JHEV ATM, Encik Sophian Isswandy bin Ismail; serta wakil-wakil Persatuan Veteran ATM Negeri Sabah.

LAPORAN PENGAMBILAN RENJER KOMUNITI (PERHILITAN) SIRI 2/2025 - ZON UTARA

SUNGKAI, PERAK, 25 & 26 JUN 2025 – Program Pengambilan Jawatan Renjer Komuniti (PERHILITAN) Siri 2/2025 Zon Utara telah berlangsung selama dua hari di Rezab Hidupan Liar, Sungkai (PERHILITAN), Daerah Batang Padang, Perak.
Program ini merupakan hasil kerjasama antara Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Bahagian Kerjaya dan Sosioekonomi (BKS) JHEV ATM, serta JHEV ATM Cawangan Negeri Perak, yang bertindak sebagai panel temuduga sepanjang sesi pemilihan berlangsung.
Proses temuduga dimulakan dengan pemeriksaan dokumen oleh pihak JHEV ATM bagi memastikan kelayakan asas setiap calon. Seramai 52 orang veteran ATM hadir daripada 82 calon yang tersenarai untuk menghadiri sesi pemilihan tersebut.
Penilaian fizikal dan kesihatan dilakukan secara menyeluruh, merangkumi beberapa komponen berikut:
1. Indeks Jisim Badan (BMI)
2. Pemeriksaan Tubuh Badan
3. Ujian Penglihatan
4. Pengecaman Warna
5. Lari Ulang Alik (4 x 10 meter)
6. Bangun Tubi (1 minit)
7. Tekan Tubi (1 minit)
8. Lompat Jauh Berdiri
Sepanjang sesi pemilihan, seorang calon veteran didapati gagal melepasi tapisan dokumen atas faktor pemberhentian perkhidmatan di bawah tindakan tatatertib, dan seterusnya tidak layak untuk meneruskan proses temuduga.
Calon-calon veteran ATM yang berjaya melepasi semua peringkat pemilihan akan dihubungi oleh pihak PERHILITAN dalam masa terdekat untuk lantikan sebagai Renjer Komuniti. Usaha ini bukan sahaja membuka peluang kerjaya baharu kepada para veteran, malah menyokong usaha pemeliharaan biodiversiti negara melalui sumbangan pengalaman dan kepakaran mereka dalam bidang keselamatan dan kawalan.

⛳ GOLF AMAL KEMPEN TABUNG PAHLAWAN KEMBALI LAGI!

Bagi meneruskan usaha mengumpul dana bagi kebajikan Veteran ATM, acara dwi-tahunan Golf Amal Kempen Tabung Pahlawan kini dalam fasa persediaan rapi.
Persiapan sedang giat dijalankan, termasuk sesi raptai, bagi memastikan penganjuran berlangsung lancar, teratur dan bermakna.
Objektif utama penganjuran adalah untuk:
✅ Mengumpul dana Tabung Pahlawan
✅ Mengukuhkan jaringan strategik antara sektor korporat dan kebajikan pertahanan
✅ Meningkatkan kesedaran awam tentang peranan dan pengorbanan Veteran ATM
JHEV ATM turut menggalakkan penyertaan syarikat-syarikat korporat yang berdaya saing untuk bersama menyumbang dalam kempen ini sebagai simbol solidariti dan penghargaan terhadap wira negara.
Untuk menyumbang boleh disalurkan ke akaun rasmi:
AFFIN ISLAMIC | Tabung Rayuan Hari Pahlawan
1059 500 3201
Sumbangan anda bukan hanya membantu malah ia juga dapat membina semula semangat mereka yang pernah memberi tanpa meminta.
Teruskan menyokong. Teruskan menghargai.
Tabung Pahlawan, untuk mereka yang tidak pernah lari dari perjuangan.

SAMBUTAN HARI ULANG TAHUN KE-103 PERSATUAN VETERAN ANGKATAN TENTERA MALAYSIA PVATM "PVATM Kekal Relevan"

SEREMBAN, 16 JUN 2025 – Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) yang ditubuhkan pada 20 Mei 1922 menyambut hari ulang tahunnya yang ke-103 dalam suasana penuh gemilang dan bermakna dekat sini hari ini. Sambutan bertemakan “PVATM Kekal Relevan” ini telah diadakan di Negeri Sembilan berjaya menghimpunkan lebih 500 veteran ATM dari seluruh negara.
Sambutan HUT Ke-103 kali ini diserikan lagi dengan acara Perbarisan Statik oleh Veteran ATM yang berlangsung di Dewan Majlis Bandaraya Seremban. Perbarisan ini melibatkan seramai 471 peserta, termasuk 15 pegawai dan 456 anggota veteran dari seluruh negara, yang diketuai oleh Ketua Kontinjen dari setiap negeri. Acara penuh istiadat ini telah menerima tabik hormat daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin bin Haji Harun, selaku Tetamu Kehormat.
Turut hadir memeriahkan sambutan ini ialah Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhemy bin Ithnain, Panglima Tentera Laut mewakili Menteri Pertahanan Malaysia, Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM; Briged Jeneral Zamri bin Othman, Panglima Briged Pertama Infantri Malaysia, Briged Jeneral Hamdan bin Ahmad TUDM, Timbalan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) serta Kapt (Bersara) Datuk Sharuddin bin Haji Omar, Presiden PVATM. Kehadiran barisan kenamaan ini mencerminkan penghargaan tinggi terhadap jasa dan pengorbanan para Veteran ATM yang pernah berkhidmat demi kedaulatan negara.
HUT ke-103 kali ini juga turut di sertai oleh delegasi antarabangsa dari kalangan pertubuhan veteran ASEAN. Presiden Veterans Confederation of ASEAN Countries (VECONAC) bersama Presiden Veteran dari sembilan negara ASEAN iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam turut hadir bagi memperkukuhkan hubungan serantau.
Dalam usaha memperluas jaringan kerjasama, sambutan kali ini turut menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama ekonomi veteran antara PVATM dengan negara Brunei, Kemboja, Indonesia, Thailand dan Vietnam. Disamping itu juga, delegasi antarabangsa ini juga dijadual akan mengadakan lawatan khas ke lokasi bersejarah di Negeri Melaka pada 17 dan 18 Jun 2025 ini.
Sambutan HUT ke-103 ini membuktikan komitmen berterusan PVATM dalam memperjuangkan kebajikan veteran sambil memperkukuhkan hubungan strategik serantau demi masa depan komuniti veteran yang lebih sejahtera dan berdaya saing.

AKTIVITI JHEV ATM CAWANGAN NEGERI KELANTAN & TERENGGANU - PROGRAM VETERAN DESA MADANI (VDM) SIRI 4/25

JELI, 8 JUN 2025 - Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) Cawangan Negeri Kelantan dan Terengganu telah melaksanakan Program Veteran Desa Madani Siri 4/25 yang dihadiri oleh YB Adly bin Zahari, Timbalan Menteri Pertahanan. Program dimulai dengan lawatan ke ladang usahawan Veteran ATM pertama iaitu Encik Md Aziz bin Harun di Kuala Balah, Jeli. Veteran mengusahakan penanaman jagung manis sejak 5 tahun yang lepas. Dalam sesi lawatan tersebut, YB Timbalan Menteri turut menyampaikan bantuan berupa mesin racun, mesin tanam jagung, mesin rumput dan juga benih jagung manis.
Setelah itu, YB Timb Menteri berkesempatan menziarahi Balu Ab Rahman bin Yaacob iaitu Puan Hasnah binti Yazid yang baru sahaja kehilangan suaminya.
Kemudian, program diteruskan dengan lawatan ke ladang usahawan Veteran ATM kedua iaitu Encik Kamaruddin bin Mat Zin di Lubuk Bongor, Jeli. Veteran mengusahakan penanaman buah tembikai bermula tahun 2019 hingga kini. Dalam lawatan tersebut, YB Timbalan Menteri turut menyampaikan sumbangan berupa baja benih dan buah, plastik pertanian dan benih tembikai.
Seusai lawatan di ladang tembikai, YB Timbalan Menteri terus bergerak ke rumah Veteran Asnaf iaitu Encik Che Mahmood bin Che Mustapha di Kg Gemang, Ayer Lanas, Jeli. Veteran adalah seorang Veteran Tidak Berpencen dan sedang sakit terlantar akibat strok hampir 3 tahun. YB Timbalan Menteri menyampaikan sumbangan berupa lampin pakai buang dan bakul makanan kepada veteran tersebut.
Selesai lawatan ke semua rumah veteran, YB Timbalan Menteri bergerak ke SK Sungai Rual, Jeli bagi menyantuni penduduk kampung orang asli Sungai Rual dan Veteran ATM setempat. Delegasi disambut oleh Pengerusi Penduduk Kampung Orang Asli Sungai Rual dan YB Timbalan Menteri turut melawat reruai dari Rejimen 506 (AW), Bahagian Perkhidmatan Kesihatan (BPK) ATM dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Dalam program tersebut, YB Timbalan Menteri turut menyampaikan sumbangan kepada Surau, pihak sekolah, Tok Batin dan 300 kotak bakul makanan kepada penduduk kampung dan juga Veteran ATM setempat sebagai tanda keprihatinan dan sokongan.
Turut hadir pada program ini adalah YBhg Brigedier Jeneral Hj Mohd Nizam bin Hj Abdul Manap, Panglima Briged Ke-8 Infantri Malaysia, Lt Kol Nor Azimi bin Idris, Pegawai Staf 1 Sekretariat JHEV ATM, YBrs Tuan Mohamad Adnan bin Mohamad Kasim, Pegawai Pendidikan Daerah Jeli, Tuan Hj Ahmad Hayani bin Awang, Guru Besar SK Sungai Rual, Jeli dan wakil-wakil Persatuan-persatuan Veteran ATM setempat.
Semoga dengan penganjuran program-program seperti ini dapat memperkukuhkan lagi hubungan kerjasama di antara JHEV ATM, persatuan-persatuan veteran dan agensi-agensi kerajaan setempat.

Total User Account

3418358
Today: 525
Total: 3,418,358

facebook
tiktok
instagram
youtube
location
footer-logo

One Stop Centre (OSC) MAFVAD

Level G, Menara TH Perdana, 1001 Jalan Sultan Ismail, 50250 Kuala Lumpur

Tel: 03-2050 8000
Call Centre: 03-2697 6600

Head Office  Branches


Copyright 2024 © Malaysian Armed Forces Veteran Affairs Department