Skip to main content

faq

FAQ

hubungi

Contact Us

maklumbalas

Feedback

peta

Site Maps

News

News

TIMBALAN MENTERI PERTAHANAN TERUSKAN PROGRAM SANTUNI VETERAN ATM - DAERAH SEPANG DAN SABAK BERNAM

SABAK BERNAM, 21 APRIL 2025 - Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly Zahari telah menyempurnakan program santuni Veteran ATM menerusi Program Peduli Veteran Madani (PVM) di sekitar Daerah Sabak Bernam, pada Isnin.
PVM Sabak Bernam adalah merupakan lokasi kedua dalam bulan ini setelah Timbalan Menteri Pertahanan menyempurnakan PVM di Daerah Sepang pada 14 April 2025, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 30 orang Veteran ATM telah disantuni bagi kedua-dua program. Antara yang dilawati adalah Veteran ATM yang hilang upaya, sakit kronik, pedalaman serta balu yang mana tiga orang daripada mereka adalah merupakan usahawan berasaskan makanan.
Semasa berlangsung, Timbalan Menteri Pertahanan turut menganugerahkan Pingat Jasa Malaysia kepada 9 orang veteran ATM dan balu, menyampaikan bantuan komputer riba kepada salah seorang anak asnaf veteran ATM yang sedang melanjutkan pengajian di Universiti Putra Malaysia serta mengagihkan 250 kotak berupa sumbangan Rahmah kepada persatuan Veteran ATM Daerah Sepang dan Sabak Bernam. PVM adalah usaha yang diambil oleh Kementerian Pertahanan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) untuk menyantuni Veteran ATM secara bersemuka sekali gus mengenal pasti keperluan mereka.
Selain itu, usaha memperkasa Veteran ATM akan sentiasa diperkemaskan lagi melalui inisiatif-inisiatif yang telah digariskan dalam memperkukuh ekosistem kesejahteraan warga
pertahanan. Ia termasuklah mempelbagaikan sumber dan mempertingkatkan sumbangan kutipan Kempen Tabung Pahlawan yang akan berakhir pada 31 Julai setiap tahun.
Hadir sama adalah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM, Lt Kol Aswadi bin Jamian (B), Pengarah JHEV ATM Cawangan Selangor dan Wilayah Persekutuan, Komander Mohd Kamal Irfan bin Hassan Sabri TLDM, serta persatuan-persatuan veteran ATM Negeri Selangor.

PROGRAM PEDULI VETERAN MADANI (PVM) YB TIMBALAN MENYTERI PERTAHANAN DI SEPANG, SELANGOR

SEPANG, 14 APRIL 2025 - Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly Zahari telah menyantuni Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sekitar Daerah Sepang menerusi Program Peduli Veteran Madani (PVM) anjuran Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) pada Isnin.
Program tersebut dengan matlamat mendekati golongan veteran secara bersemuka, mengenal pasti keperluan serta mendapatkan maklum balas terhadap inisiatif yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Dalam program itu, YB, Adly berkesempatan menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada 14 orang veteran ATM di Sepang, Selangor di kalangan mereka yang mengalami sakit kronik dan masalah kesihatan serta OKU.
Program ini juga merupakan salah satu fokus kerajaan MADANI di kelolakan Kementerian Pertahanan dengan kerjasama JHEV ATM dalam usaha menjaga kebajikan setiap Veteran ATM selain memperkukuhkan hubungan serta meninjau perkara-perkara terkait kesinambungan hidup selepas bersara para Veteran ATM di kawasan tersebut.
Dalam pada itu, semasa kunjungan YB, Adly juga turut berbesar hati menyampaikan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 6 orang Veteran ATM yang dilawati yang tidak dapat hadir dalam majlis penganugerahan sebelum ini kerana masalah kesihatan sebagai penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan mereka dalam mempertahankan negara dan bantuan komputer riba turut disampaikan kepada Nur Aida Nabila binti Norizhar seorang anak asnaf veteran ATM bagi menyokong keperluan pembelajaran mereka.
Sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan taraf sosio-ekonomi veteran, YB, Adly turut menyerahkan insentif kepada usahawan veteran ATM. Bantuan tersebut melibatkan kelengkapan perniagaan seperti peralatan pembuatan (dapur) dan lain lain keperluan.
JHEV ATM bertekad untuk terus mendekati para veteran ATM dengan tampil menyediakan perkhidmatan pelbagai inisiatif serta program kebajikan demi memastikan kesejahteraan mereka sentiasa terpelihara. Program Perduli Veteran Madani (PVM) seperti ini akan diteruskan ke daerah-daerah lain juga selepas ini bagi memastikan semua veteran ATM mendapat perhatian yang sewajarnya.
Program ini merupakan sebahagian daripada Pelan Strategik MINDEF 2021-2025: Teras 7 – Transformasi Kesejahteraan Veteran ATM, yang memberi penekanan kepada peningkatan taraf sosioekonomi serta pengiktirafan terhadap jasa pejuang negara.
Turut hadir semasa lawatan tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah JHEV ATM, YBhg. Tuan Sophian Isswandy bin Ismail, Mej Muhaizam bin Mustapa Delmi, Penolong Pengarah Bahagian Dasar JHEV ATM, Pengarah JHEV ATM Cawangan Selangor dan Wilayah Persekutuan, Komander Mohd. Kamal Irfan bin Hassan Sabri TLDM, Pegawai Pembangunan Masyarakat, Puan Lyn d’amor Buquing, Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Kanan, Puan Suhaila Maijana binti Adnan dan Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat, Puan Rosnani binti Che Ali.

PROGRAM SUMBANGAN AIDILFITRI UNTUK ANAK-ANAK VETERAN ATM OKU,ASNAF & DAIF 2025

KUANTAN, 27 MAC 2025  – Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) dengan kerjasama Yayasan Veteran ATM (YVATM) telah menganjurkan Program Sumbangan Aidilfitri bagi anak-anak veteran dan bekas tentera yang OKU, asnaf dan daif. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki, Ketua Pengarah JHEV ATM, di Mydin Kuantan Emporium, Pahang. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah JHEV ATM, Encik Sophian Isswandy bin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif YVATM, Lt. Kol. Azwadi bin Jamian (Bersara) dan Pengarah JHEV ATM Cawangan Negeri Pahang, Mejar Khairul Azhar bin Md Dahad TUDM. Program ini juga berlangsung serentak di seluruh negara dari 24 hingga 28 Mac 2025. Sebanyak RM53,770.00 telah diagihkan kepada 350 penerima, hasil sumbangan zakat wakalah, individu serta syarikat korporat yang prihatin terhadap kebajikan veteran. JHEV ATM menzahirkan penghargaan kepada semua penyumbang dan berharap bantuan ini dapat meringankan beban serta membawa kegembiraan kepada penerima dalam menyambut Aidilfitri.

MAJLIS DIALOG (TOWN HALL) PAT BERSAMA ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 19 MAC 2025 - Jabatan Hal Ehwal Veteran, Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) telah menganjurkan Sesi Dialog (Town Hall) bersama Angkatan Tentera Malaysia Dan Veteran ATM di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM dekat sini pada Rabu. Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Datuk Mohd. Nizam Jaffar dalam amanat beliau selepas Majlis Mula Tugas dan Ucaptama PAT Ke-23 di Wisma Pertahanan pada awal Februari 2025 yang lalu menyatakan townhall ini juga akan menjadi platform untuk ATM memberi penjelasan berkenaan inisiatif semasa Kementerian Pertahanan untuk membantu golongan Veteran ATM. Sesi ini ‘once for all’ (demi) memastikan mesej yang ingin disampaikan jelas dan untuk mendengar apa yang ingin mereka (Veteran ATM) suarakan. Pendekatan yang telah diambil ini akan memudahkan usaha penerangan diberikan secara langsung kepada golongan Veteran ATM. Sesi Dialog (Town Hall) bersama Angkatan Tentera Malaysia Dan Veteran ATM ini dimulakan dengan sesi perkongsian ilmu terkait IJN oleh Puan Izzati binti Rosli, Akauntan Bahagian Kewangan Cawangan Dasar Kewangan. Manakala Taklimat Bantuan Sara Hidup (BSH) pula di sampaikan oleh Puan Siti Khadijah binti Ibrahim, Penolong Pengarah 1 Bahagian Kebajikan (BK) JHEV ATM. Taklimat Bahagian Pencen (BP) JHEV ATM disampaikan oleh Lt Kol Salim bin Ibrahim, Pemangku Pengarah Bahagian Pencen (BP) JHEV ATM dengan tajuk Status Pengiktirafan Bekas Tentera dan Faedah Hilang Upaya (FHU) diikuti Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA). Bahagian Kerjaya dan Sosioekonomi (BKS) JHEV ATM pula berkaitan Peluang Kerjaya Kedua dan Inisiatif Perumahan Veteran ATM. Taklimat telah disampaikan oleh Puan Irma Jasmin binti Ishak, Pengarah Bahagian Kerjaya dan Sosioekonomi (BKS). Program pada sesi petang pula, diisi dengan Taklimat Majlis Gabungan Persatuan Persatuan Veteran ATM (MGPPV ATM) oleh Lt Jen Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz bin Ibrahim (B), Pengerusi MGPPV ATM dan Sesi Bersama Ketua Pengarah JHEV ATM, YBhg. Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki. Turut hadir Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato' Wira Muhammad Hafizuddeain bin Jantan, Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara (PTU), Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

TALENTCORP DAN JHEV ATM METERAI MEMORANDUM PERSEDAHAMAN (Mou) UNTUK TINGKATKAN KEBOLEHPASARAN VETERAN ATM

KUALA LUMPUR, 10 MAC 2025 – Satu Memorandum Persefahaman (MoU) antara Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) telah dimeterai hari ini dalam usaha memperkukuhkan kebolehpasaran Veteran ATM ke dalam sektor pekerjaan. Majlis tersebut disaksikan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly Zahari. Kerjasama strategik ini bertujuan untuk meningkatkan taraf sosioekonomi veteran ATM khususnya selepas tamat perkhidmatan, katanya dalam satu kenyataan. Menurut beliau, konsep persaraan Veteran ATM adalah unik, dengan kebanyakan mereka bersara pada usia yang masih muda, iaitu sekitar hujung 30-an atau awal 40-an. Oleh itu, mereka masih mempunyai potensi besar untuk memulakan kerjaya kedua dalam pelbagai bidang yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran dan berdisiplin. “Veteran ATM bukan sahaja wira negara yang telah berkorban demi keselamatan tanah air, malah mereka juga merupakan tenaga kerja profesional terlatih yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” ujar YB Adly Zahari. Kerjasama ini turut merangkumi pelaksanaan program MyWira yang diperkenalkan sejak 2024 oleh TalentCorp. Program tersebut membantu 4,049 anggota dan veteran ATM dengan 1,524 daripadanya meneroka laluan kerjaya menerusi platform pemprofilan MyNext. Sehingga kini, seramai 1,383 Veteran telah berdaftar untuk peluang pekerjaan, dan 49 daripadanya telah berjaya memperoleh penempatan kerja. Selain itu, YB Adly Zahari turut memuji usaha Bengkel Libat Urus KESUMA-MINDEF yang menjadi platform strategik dalam membina sinergi antara kemahiran anggota tentera dengan keperluan industri. Beliau berharap ekosistem kebolehpasaran ini dapat diperluaskan lagi melalui lebih banyak kolaborasi bersama pemain industri. Beliau turut menyeru semua pihak untuk terus peduli terhadap kebajikan dan masa depan Veteran ATM, selaras dengan prinsip bahawa pertahanan negara adalah tanggungjawab bersama. Majlis ini menandakan satu lagi komitmen kerajaan dalam menyediakan laluan kerjaya yang mampan kepada Veteran ATM dan meningkatkan penglibatan mereka dalam pelbagai industri yang memerlukan tenaga kerja mahir tempatan. Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran, Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM), YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki Timbalan Ketua Pengarah JHEV ATM, YBhg. Tuan Sophian Isswandy bin Ismail dan Pengarah Bahagian Kerjaya dan Sosioekonomi (BKS) JHEV ATM Puan Irma Jasmin Ishak.

JHEV ATM PERKASA PENDIDIKAN ANAK-ANAK VETERAN

TAWAU, 8 MAC 2025 – Jabatan Hal Ehwal Veteran, Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) terus komited dalam memastikan kebajikan anak-anak veteran ATM, khususnya dalam aspek pendidikan. Dalam sesi lawatan dekat sini pada Sabtu, Ketua Pengarah JHEV ATM, YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki mewakili Menteri Pertahanan, telah menyampaikan sumbangan komputer riba kepada seorang balu veteran ATM bagi kegunaan anak-anaknya dalam pembelajaran. Langkah ini diambil bagi memastikan anak-anak veteran tidak ketinggalan dalam dunia pendidikan digital yang semakin berkembang pesat. Bantuan tersebut diberikan kepada balu Allahyarham Abu Hassan bin Abdullah, Puan Suriyana binti Wayan Cagga, hasil inisiatif Kementerian Pertahanan bersama Etiqa Takaful melalui Yayasan Veteran ATM (YVATM). Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan JHEV ATM dalam menyokong pendidikan anak-anak veteran ATM, agar mereka mendapat akses kepada kemudahan pembelajaran yang lebih baik serta peluang pendidikan yang lebih cerah di masa hadapan.

MAJLIS PENYERAHAN RUMAH BINA BAHARU INISIATIF PERUMAHAN VETERAN ATM NEGERI SEMBILAN

LABU, 17 FEBRUARI 2025 - Majlis Penyerahan Rumah Bina Baharu Inisiatif Perumahan Veteran ATM telah berlangsung di Kampung Pelegong, Mukim Labu, Seremban, Negeri Sembilan. Program ini telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) YBhg. Mejar Jeneral Dato' Haji Semaon bin Haji Marjuki, dekat sini pada Isnin. Program ini merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan dalam menjaga kebajikan Veteran ATM sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang telah banyak berjasa kepada negara. Inisiatif ini antara lain nya bertujuan menyediakan kediaman yang lebih selesa dan selamat kepada Veteran ATM yang memerlukan. Melalui program ini, Rumah Bina Baharu telah dibangunkan bagi membantu Veteran ATM yang kurang berkemampuan untuk memiliki tempat tinggal yang lebih baik dan selesa dengan kerjasama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB). Ketua Pengarah JHEV ATM YBhg. Mejar Jeneral Dato' Haji Semaon Marjuki berkata Veteran ATM adalah wira negara yang telah berkorban demi keselamatan kita dan betapa pentingnya sokongan ini perlu diteruskan kepada para Veteran ATM amnya. Oleh sebab itu, kita harus memastikan mereka menikmati kehidupan yang lebih baik dan selesa selepas bersara daripada perkhidmatan, ujarnya lagi. Salah seorang penerima Rumah Bina Baharu yang ditemui iaitu Encik Zainuddin bin Mohd Nor, mempunyai 8 orang anak di mana 3 daripadanya adalah OKU yang dijaga sepenuhnya oleh beliau dan isteri. Beliau menghadapi cabaran dalam menyediakan kediaman yang lebih selesa serta selamat untuk keluarganya dan dengan adanya bantuan ini, kehidupan mereka akan menjadi lebih baik serta terjamin. Inisiatif Perumahan Veteran ATM ini sejajar dengan matlamat kerajaan dalam memperkukuhkan sokongan kepada komuniti Veteran ATM serta meningkatkan taraf kehidupan mereka. Program ini akan terus diperluaskan ke seluruh negeri bagi memastikan lebih ramai Veteran ATM yang akan mendapat manfaat nanti. Turut hadir ialah Panglima 1 Briged, Brig Jen Zamri bin Othman, Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Tuan LAr Haji Muhamad Kamel bin Yasin, YDP Persatuan PVATM Negeri Sembilan, Dato' Adnan bin Haji Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM, Lt Kol Azwadi bin Jamian (Bersara), dan Pengarah JHEV ATM Cawangan Melaka dan Negeri Sembilan, Mej Muhammad Zarifi bin Haji Tumin.

SESI DIALOG KP JHEV ATM BERSAMA PERSATUAN VETERAN: PLATFORM TERBAIK MEMPERKEMASKAN HALA TUJU KEBAJIKAN VETERAN ATM

SEREMBAN, 17 FEBRUARI 2025 - Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) telah mengadakan sesi dialog bersama Persatuan Veteran ATM dalam usaha mengeratkan hubungan silaturrahim serta memperkukuhkan jaringan komunikasi antara kedua-dua pihak. Majlis ini diadakan sempena Lawatan Kerja Rasmi Ketua Pengarah JHEV ATM, YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki ke sekitar Negeri Sembilan Terdahulu, dalam pengisian program dialog itu, Persatuan Veteran ATM telah diberikan beberapa taklimat dan pendedahan mengenai pengendalian serta penggunaan Sistem VIBES 2.0 yang disampaikan oleh Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM) JHEV ATM. Selain itu, sesi taklimat berkaitan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) turut mengisi aturcara dialog yang disampaikan oleh Bahagian Pencen (BP) JHEV ATM. Sementara itu, taklimat mengenai Kerjaya Kedua Veteran pula telah disampaikan oleh Pengarah Bahagian Kerjaya dan Sosioekonomi (BKS) JHEV ATM Puan Irma Jasmin Ishak. Ketua Pengarah JHEV ATM YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon Marjuki semasa merasmikan sesi dialog ini berkata, diantara tujuan diwujudkan platform ini adalah untuk mendengar suara veteran ATM secara lebih dekat mahupun secara langsung terkait membincangkan isu-isu semasa hala tuju kebajikan mereka serta inisiatif dan sokongan yang boleh disalurkan oleh JHEV ATM. Beliau berkata, JHEV ATM menekankan komitmen bahawa pihak jabatan akan memastikan kebajikan dan kesejahteraan veteran ATM sentiasa menjadi keutamaan. Wakil-wakil daripada pelbagai Persatuan Veteran ATM yang ditemui semasa menghadiri sesi dialog ini mendedahkan bahawa mereka berpeluang untuk mengemukakan cadangan serta pandangan mengenai pelbagai isu termasuk peluang pekerjaan, bantuan peralatan kesihatan, dan kesinambungan kebajikan keluarga Veteran ATM. Antara perkara lain yang turut menjadi topik perbincangan termasuk lah pengukuhan sistem sokongan sosial bagi membantu veteran ATM dalam menghadapi cabaran selepas bersara daripada perkhidmatan ketenteraan. Para veteran ATM turut melahirkan rasa syukur dan penghargaan atas inisiatif ini serta berharap agar sesi dialog seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dalam usaha mengukuhkan kesinambungan kebajikan dan kesejahteraan para pejuang negara yang telah banyak berjasa kepada tanah air. Turut hadir semasa program tersebut ialah Dato’ Adnan bin Haji Ahmad, Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM)Negeri Sembilan, Lt Kol Azwadi bin Jamian (Bersara), Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM dan Pengarah JHEV ATM Cawangan Negeri Sembilan & Melaka, Mejar Muhammad Zarifi bin Haji Tumin.

LAWATAN CAKNA KETUA PENGARAH JHEV ATM KE DAERAH KUALA PILAH DAN DAERAH RANTAU NEGERI SEMBILAN

NEGERI SEMBILAN, 16 FEBRUARI 2025 - Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM), YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki telah mengadakan Lawatan Cakna ke daerah Kuala Pilah dan Rantau, Negeri Sembilan pada Ahad dalam usaha memperkukuhkan hubungan serta meninjau perkara-perkara berkaitan kebajikan para veteran ATM di kawasan tersebut. Lawatan ini juga bertujuan untuk memastikan kebajikan para veteran ATM sentiasa terpelihara selain mendengar sendiri permasalahan yang dihadapi oleh mereka. Program ini memberi peluang kepada JHEV ATM untuk menyalurkan maklumat terkini mengenai inisiatif dan bantuan yang boleh dimanfaatkan oleh para veteran ATM dan keluarga mereka. Ketua Pengarah JHEV ATM YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Semaon Marjuki telah melawat beberapa keluarga veteran ATM yang memerlukan perhatian khusus iaitu di lima buah kediaman veteran di Kuala Pilah yang mengalami pelbagai masalah kesihatan sakit kronik seperti strok dan ada juga yang menguruskan anak Orang Kurang Upaya (OKU). Mereka adalah Encik Nasir bin Said, Encik Musa bin Dahalan, Puan Minan binti Johan (Balu kepada Allahyarham Abdullah binti Mihat), Encik Zakaria bin Karib dan Encik Rohimin bin Khamis. Dalam kunjungan tersebut, rombongan telah mendengar sendiri keluhan serta berkongsi langkah-langkah yang boleh diambil bagi meningkatkan taraf hidup veteran. Antara kandungan yang dibincangkan termasuk lah bantuan perubatan, kebajikan serta peluang latihan dan pekerjaan bagi veteran ATM yang berkelayakan. Sementara itu di daerah Rantau, seramai 5 veteran ATM turut ditemui bagi berkongsi maklumat serta penyelesaian dalam menghadapi cabaran meliputi beberapa aspek termasuklah ekonomi serta bantuan sokongan yang diperlukan. Mereka adalah Encik Azuan bin Junid, Puan Zahrah binti Kamaruzaman (Balu kepada Allahyarham Abu Samah bin Hamzah), Encik Idris bin Hasan, Encik Mohd Idris bin Abd Rahman dan Encik Mohd. Nasir bin Hussain. JHEV ATM bertekad untuk terus mendekati para veteran ATM dengan tampil menyediakan perkhidmatan pelbagai inisiatif serta program kebajikan demi memastikan kesejahteraan mereka sentiasa terpelihara. Lawatan Cakna seperti ini akan diteruskan ke daerah-daerah lain juga selepas in bagi memastikan semua veteran ATM mendapat perhatian yang sewajarnya. Turut hadir semasa lawatan tersebut ialah Lt Kol Azwadi bin Jamian, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM dan Pengarah JHEV ATM Cawangan Negeri Sembilan & Melaka Mejar Muhammad Zarifi bin Haji Tumin.

SEMBAH MENGHADAP KETUA PENGARAH JHEV ATM KEPADA DYTM TUANKU RAJA MUDA PERLIS

ARAU, 13 FEBRUARI 2025 - Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menerima sembah menghadap Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki di Galeri Istana. Kunjungan ini bertujuan mengeratkan hubungan kerjasama antara JHEV ATM dan Institusi Diraja amnya, serta mempersembahkan informasi terkait perkembangan terkini mengenai inisiatif kebajikan dan pembangunan untuk veteran ATM. Dalam pertemuan tersebut, KP JHEV ATM Mej Jen Dato’ Haji Semaon Marjuki telah menyampaikan laporan mengenai pelbagai program serta inisiatif yang telah dilaksanakan serta perancangan semasa oleh JHEV ATM untuk meningkatkan kesejahteraan veteran, termasuk inisiatif latihan kemahiran dan peluang kerjaya selepas perkhidmatan dengan ATM. Selain itu, turut dibincangkan adalah usaha-usaha berterusan untuk menyokong veteran ATM berstatus asnaf, serta peluang-peluang lain yang disediakan melalui kerjasama dengan pelbagai pihak, termasuk Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). DYTM Tuanku Raja Muda Perlis turut memberi sokongan penuh terhadap usaha JHEV ATM dalam memperkasa kehidupan veteran ATM, dan menekankan kepentingan memberi perhatian khusus kepada kesejahteraan veteran ATM di negeri Perlis. Tuanku Raja Muda juga menyatakan komitmen untuk terus menjalin kerjasama dengan JHEV ATM bagi memastikan lebih banyak inisiatif kebajikan dapat dilaksanakan dengan berkesan. Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah JHEV ATM, Tuan Sophian Isswandy bin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM, Lt Kol Azwadi bin Jamian (Bersara), serta Pengarah JHEV ATM Cawangan Negeri Kedah, Perlis, dan Pulau Pinang, Mej Mohd Izmer bin Ghazali (TUDM). Kunjungan hormat ini menjadi tanda penghargaan dan penghormatan daripada JHEV ATM terhadap sokongan yang diberikan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Muda Perlis dalam memperjuangkan kebajikan veteran ATM, sekaligus memperkukuh lagi hubungan kerjasama erat antara JHEV ATM dan Institusi Diraja.

Total User Account

3418358
Today: 525
Total: 3,418,358

facebook
tiktok
instagram
youtube
location
footer-logo

One Stop Centre (OSC) MAFVAD

Level G, Menara TH Perdana, 1001 Jalan Sultan Ismail, 50250 Kuala Lumpur

Tel: 03-2050 8000
Call Centre: 03-2697 6600

Head Office  Branches


Copyright 2024 © Malaysian Armed Forces Veteran Affairs Department